Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chelsea kecundang di tangan Arsenal

    LONDON, 17 MAC – Cabaran Chelsea untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan semakin goyah selepas tewas 1-0 kepada Arsenal semalam, manakala Fulham membenam Tottenham 2-0.

    Mikel Merino menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan hambar di Stadium Emirates, membolehkan Arsenal mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dan merapatkan jurang kepada 12 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

    Chelsea jelas merindui kehadiran Cole Palmer yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan, menyebabkan The Blues gagal memberikan saingan dalam kekalahan yang merosakkan peluang mereka untuk menamatkan musim dalam kelompok empat teratas.

    Walaupun masih berada di tempat keempat buat masa ini, Chelsea hanya mempunyai kelebihan empat mata daripada lima pasukan lain yang memburu kedudukan mereka, dari Manchester City di tangga kelima hingga Aston Villa di tempat kesembilan.

    Kedua-dua pengurus berharap skuad mereka akan lebih kuat selepas rehat antarabangsa akan datang.

    Bukayo Saka dijangka kembali untuk Arsenal, manakala Enzo Maresca yakin Palmer, Nico Jackson dan Noni Madueke akan pulih tepat pada masanya untuk aksi Chelsea menentang Tottenham di Stamford Bridge pada 3 April.

    “Kami melakukan cukup untuk menang hari ini,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta. “Sekarang kami ada rehat antarabangsa, jadi ini masa untuk bernafas dan harapnya membawa kembali beberapa pemain yang cedera.” – AFP

    Aksi Pedro Neto (tengah), cuba menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Arsenal dan Chelsea di Stadium Emirates, London, pada 16 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda