LONDON, 30 MEI – Chelsea kelmarin telah melantik Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu selepas pengurus Argentina itu menerima tugas berat untuk memulihkan kelab Liga Perdana yang bermasalah itu.
Pochettino bersetuju dengan kontrak selama dua tahun dengan pilihan untuk tambahan setahun dan akan kembali ke Liga Perdana setelah empat tahun selepas dipecat oleh saingan Chelsea di London, Tottenham.
Pengurus berusia 51 tahun itu telah tidak bekerja sejak dipecat oleh Paris Saint-Germain pada Julai 2022.
“Mauricio merupakan jurulatih bertaraf dunia dengan rekod prestasi cemerlang. Kami semua tidak sabar bekerjasama dengannya,” kata pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly dan Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.
Pochettino, yang akan memulakan peranan baharunya pada 1 Julai, menggantikan Frank Lampard selepas bekas pemain tengah England itu kembali ke Chelsea sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim.
Lampard merupakan pengurus ketiga Chelsea dalam kempen suram yang menyaksikan Boehly memecat Thomas Tuchel pada September dan kemudian memecat penggantinya Graham Potter pada April selepas kurang tujuh bulan mengendalikannya.
Pochettino muncul sebagai pilihan selepas Chelsea mengadakan perbincangan dengan bekas pengurus Sepanyol, Luis Enrique dan Julian Nagelsmann, yang dipecat oleh Bayern Munich pada Mac.
Pochettino secara lisan bersetuju untuk mengambil alih tugas di Chelsea pada April, tetapi pelantikan itu ditangguhkan sehingga akhir musim.
Dengan The Blues menamatkan kempen Liga Perdana yang kurang memuaskan dengan keputusan seri menentang Newcastle baru-baru ini, Pochettino terbang ke England untuk mengesahkan perjanjian itu secara rasmi. – AFP