Friday, January 31, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chelsea lengkapi pembelian Sanchez

    LONDON, 6 OGOS – Chelsea melengkapkan pembelian penjaga gol Sepanyol, Robert Sanchez dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Brighton hari ini dengan perjanjian selama tujuh tahun.

    Sanchez, yang kehilangan tempatnya kepada Jason Steele pada babak kedua musim lalu, akan memberi saingan kepada Kepa Arrizabalaga susulan pemergian Edouard Mendy ke kelab Arab Saudi, Al-Ahli.

    “Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Robert ke Chelsea dan dia menambahkan lagi kualiti kepada unit penjaga gol kami,” kata pengarah sukan Chelsea, Paul Winstanley dan Laurence Stewart.

    “Robert berkali-kali membuktikan keupayaannya dalam EPL dan sudah beraksi buat negaranya.

    “Kami teruja untuk melihat dia bekerja dengan Mauricio (Pochettino) dan pasukan kejurulatihannya menjelang musim baharu.”

    Aksi Robert Sanchez menyelamatkan penalti semasa perlawanan di antara Manchester United dan Brighton di stadium Wembley di London pada 23 April 2023. – AP

    Sanchez adalah pembelian keenam Chelsea pada musim panas ini ketika mereka bersiap sedia bagi musim pertama di bawah kendalian Pochettino.

    Perjanjian itu dilaporkan bernilai £25 juta dengan tambahan klausa jualan.

    Penjaga gol antarabangsa Sepanyol berusia 25 tahun itu bekerja dengan jurulatih penjaga gol Chelsea, Ben Roberts ketika beliau bertugas di Brighton. Roberts berpindah ke Stamford Bridge pada September 2022.

    Pengurus baharu Blues, Pochettino merombak skuadnya secara besar-besaran susulan pencapaian terburuk kelab itu dalam EPL bagi tempoh hampir 30 tahun.

    Mereka memulakan kempen baharu di laman sendiri menentang Liverpool pada 13 Ogos ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda