STOCKHOLM, 2 MEI – Chelsea meraih kemenangan selesa 4-1 di Djurgarden pada perlawanan pertama separuh akhir Liga Persidangan UEFA kelmarin dan menempah tempat ke final.
Gol separuh masa pertama daripada Jadon Sancho dan Noni Madueke meletakkan Chelsea mengawal perlawanan, sebelum Nicolas Jackson meraih dua lagi jaringan pada babak kedua.
Skuad kendalian Enzo Maresca mempunyai satu kaki ke final Liga Persidangan dalam kempen sulung mereka dalam pertandingan Eropah berkenaan.
Sekiranya menjulang trofi di bandar Wroclaw, Poland pada 28 Mei nanti bermakna akan menambah satu lagi koleksi gelaran juara menjadi dua kali Liga Juara-Juara, sepasang Liga Europa dan dua Piala Pemenang Piala UEFA.
Chelsea mendahului menerusi Sancho pada minit ke-12 apabila pemain sayap itu mengutip hantaran yang tinggi di dalam kotak dan merembat bola melepasi penjaga gol.
Setelah yakin menguasai permainan, Madueke menambah jaringan dua minit sebelum separuh masa apabila dia melakukan rembatan lintang dengan kaki kirinya.
Jackson pula meletakkan Chelsea mendahului tiga gol satu minit sebelum sejam ketika dia menjaringkan gol dari jarak dekat berikutan kekeliruan pertahanan lawan.
Penyerang Senegal itu menggandakan kedudukan enam minit kemudian, melepaskan rembatan deras dengan kaki kirinya dari tepi kotak penalti.
Pemain remaja Isak Alemayehu Mulugeta menyambar saguhati untuk Djurgarden pada minit ke-68 dengan tandukan kuat ke bawah untuk gol pertamanya. – AFP
