Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chelsea rebut peluang jarakkan mata EPL

    LONDON, 31 OKT – Chelsea melebarkan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada tiga mata apabila Reece James menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 di Newcastle manakala Liverpool dan Manchester City tersandung di gelanggang sendiri dalam perebutan kejuaraan kelmarin.

    Liverpool mensia-siakan pendahuluan 2-0 di Anfield ketika Brighton bangkit kembali untuk meraih keputusan seri 2-2.

    City kini ketinggalan lima mata di tangga teratas selepas pasukan Pep Guardiola bermain 10 orang ditewaskan 2-0 oleh Crystal Palace di Etihad.

    “Ia tidak akan pernah menjadi saat kami meraikan kemenangan di padang lain,” kata pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

    “Pertama sekali ia terlalu awal (untuk menentukan kejuaraan) dan kedua, kami ingin fokus pada diri sendiri. Jika awda fikir kami lebih gembira sekarang (kerana keputusan lain), sama sekali ini tidak benar.”

    Reaksi pemain Chelsea, Reece James meraikan setelah menjaringkan gol bersama Ross Barkley di perlawanan EPL menentang Newcastle United kelmarin. – AP

    Manchester United kembali beraksi buat kali pertama sejak jatuh 5-0 di tangan Liverpool pada Sabtu lepas apabila mereka menghadapi Tottenham.

    Newcastle berharap dapat mengikut jejak kejayaan Chelsea dan City berikutan pelaburan besar daripada pemilik asing.

    Bagaimanapun, Newcastle yang dimiliki Arab Saudi terpaksa bergelut untuk kekal di liga teratas kerana mereka kekal di kelompok tiga terbawah tanpa kemenangan liga musim ini.

    Chelsea bermain tanpa pemain, Romelu Lukaku, Timo Werner dan Mason Mount, tetapi juara Eropah itu masih mempunyai kelas yang terlalu tinggi di St James’ Park.

    James menghasilkan dua penamat menakjubkan dari kawasan sayap kanan sebelum sepakan penalti Jorginho melengkapkan jaringan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda