Saturday, March 29, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chelsea remuk harapan Arsenal

    LONDON, 5 Feb – Jaringan solo menakjubkan Eden Hazard dalam kemenangan 3-1 Chelsea ke atas Arsenal telah meremukkan lagi harapan kejuaraan pesaing Liga Perdana mereka, dengan Arsene Wenger yang berang mengakui bahawa pasukan pesaing London itu lebih kuat.

    Pasukan Antonio Conte telah meremukkan harapan Arsenal, sementara Liverpool kendalian Jurgen Klopp tersungkur dengan kekalahan 2-0 di Hull kelmarin.

    Pemain sayap Belgium, Hazard mendapat bola di kawasan sendiri dan kemudian berlari melepasi empat pemain lawan sebelum merembat masuk gol kedua Chelsea di Stamford Bridge selepas Marcos Alonso memberikan pendahuluan di awal permainan. Alonso menanduk masuk bola sambil dicabar di udara oleh Hector Bellerin sehingga menyebabkan pertahanan Arsenal itu digantikan, dikhuatiri mengalami kecederaan.

    Cesc Fabregas memalitkan garam ke luka Arsenal di minit ke-85 apabila bekas pemain tengah Gunners itu membuat sepakan lambung ke gawang Arsenal yang kosong selepas bekas penjaga gol Chelsea, Petr Cech membuat kesilapan dengan menendang bola ke arah Fabregas.

    Olivier Giroud menjaringkan gol sagu hati tetapi Arsenal yang berada di tangga ketiga kini ke-tinggalan 12 mata dengan berbaki 14 perlawanan.

    Pemain Chelsea, Marcos Alonso (kanan) meraikan jaringannya bagi memberikan Chelsea pendahuluan dalam aksi Liga Perdana antara Chelsea dan Arsenal di Stamford Bridge semalam. – AP
    Pemain Chelsea, Marcos Alonso (kanan) meraikan jaringannya bagi memberikan Chelsea pendahuluan dalam aksi Liga Perdana antara Chelsea dan Arsenal di Stamford Bridge semalam. – AP

    Chelsea telah menang dalam 18 perlawanan terakhir mereka, mendapat pujian Conte atas kemenangan itu dalam pemburuan gelaran.

    “Saya menganggap Arsenal sebagai salah sebuah daripada enam pasukan yang mampu merebut kejuaraan. Dengan meninggalkan mereka 12 mata di belakang adalah penting bagi kami,” kata Conte.

    Wenger berang mengenai jaringan pembukaan Alonso, dengan berkata : “Ia adalah 100 peratus faul. Satu permainan bahaya.”

    Namun Conte mempunyai pandangan berbeza.

    “Di England, dalam liga ini, ini memang selalunya satu jaringan,” katanya.

    “Bola itu, adalah satu cabaran dan Alonso melompat lebih tinggi berbanding Bellerin dan menjaringkan gol. Untuk mendengar perkara ini di England, saya agak terkejut. Saya perlu jujur. Di Itali, mungkin (ia satu faul).”

    Tetapi Wenger kemudian menyertai pendapat Pep Guardiola dari Manchester City bahawa Chelsea mungkin merangkul kejuaraan musim ini.

    “Mereka kelihatan yakin, kuat dan berkuasa pada ketika ini. mereka tidak membolosi banyak gol,” kata Wenger. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda