LONDON, 5 JUN – Chelsea menewaskan pesaing Liga Perdana untuk menandatangani penyerang Inggeris, Liam Delap, dari Ipswich kelmarin dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak £30 juta (AS$41 juta).
Delap, 22, menjaringkan 12 gol Liga Perdana pada musim tunggalnya di Portman Road tetapi tidak mampu membantu Ipswich untuk kekal berada di Liga Perdana.
Manchester United dan Everton juga dilaporkan bersedia untuk memenuhi klausa pembelian dalam kontrak antarabangsa England bawah 21 tahun itu.
Tetapi Chelsea telah memenangi persaingan untuk mendapatkan bekas penyerang Manchester City itu, memperkukuh pilihan serangan mereka menjelang Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat, bermula akhir bulan ini.
“Saya faham kedudukan kelab ini dan dapat melihat haluan yang dilalui oleh para pemain dan ketua jurulatih,” kata Delap, yang telah menandatangani kontrak selama enam tahun, dalam satu kenyataan Chelsea.
“Ia akan menjadi tempat luar biasa untuk saya berkembang dan berharap untuk mencapai perkara yang hebat di sini serta membantu kelab memenangi lebih banyak trofi,” tambahnya.
The Blues menduduki tempat keempat dalam Liga Perdana dan akan kembali ke Liga Juara-juara musim depan selepas dua tahun tidak beraksi.
Dan anak buah Enzo Maresca minggu lalu menewaskan Real Betis 4-1 dalam perlawanan akhir Liga Persidangan untuk mendapatkan trofi pada musim pertama pengurus Itali itu. – AFP
