LONDON, 31 Dis – N’Golo Kante menunjukkan tanda-tanda dia semakin berkembang dalam peranannya di midfield dengan penyudah menarik dalam menang 1-0 Chelsea ke atas Crystal Palace di Selhurst Park Ahad lalu.
Jurulatih Chelsea Maurizio Sarri telah dikritik kerana menukar Kante daripada kedudukannya yang lebih biasa di hadapan empat pemain benteng dengan Jorginho mengisi peranannya selama ini.
Akibatnya, keberkesanan Kante musim ini telah dipersoalkan tetapi bekas pemain Leicester City itu menyerlah apabila meledak pada minit ke-51 sekali gus membantu Blues mengukuhkan cengkaman di tangga keempat dengan melebarkan jurang lima mata di depan Arsenal.
Kante membuat larian sempurna untuk mendapatkan hantaran David Luiz dengan kemunculan klinikal untuk melengkapkan persembahan dominan skuad Sarri berdepan saingan dari London itu.
Kegagalan Chelsea untuk menambah gol liga ketiga Kante pada musim ini akan mencetuskan beberapa kebimbangan kepada Sarri apabila pemain gantian Palace Connor Wickham menggegar palang. – AFP
