LONDON, 1 Ogos – Bintang tengah Perancis, N’Golo Kante yang dilabel ‘elemen penting’ dalam skuad juara Piala Dunia kendalian Didier Deschamps ditawarkan kontrak baharu selama lima tahun oleh Chelsea, lapor media British, semalam.
Pemain berusia 27 tahun dan memiliki tubuh kecil itu akan memperoleh 290,000 pound seminggu jika dia menandatangani perjanjian baharu itu, lapor The Times dan London Evening Standard.
Chelsea yang memecat pengurus Antonio Conte sekalipun kelab itu menjuarai Piala FA musim lalu selepas gagal menempah tiket ke Liga Juara-Juara berbuat demikian kerana mahu menghalang minat yang ditunjukkan juara Perancis, Paris Saint-Germain terhadap Kante.
Kontrak baharu itu menyaksikan Kante akan menggandakan jumlah yang diperolehnya ketika ini di Stamford Bridge iaitu 150,000 pound seminggu yang akan berakhir pada 2021.
Kante menjadi tonggak kejayaan Chelsea menjuarai kempen liga pada musim 2016-17 di bawah kendalian Conte selepas beliau meninggalkan juara sebelumnya, Leicester City dengan nilai 32 juta pound.
Kedua-dua akhbar turut melaporkan Chelsea bersedia meningkatkan gaji perancang Belgium, Eden Hazard yang ketika ini dibayar 220,000 pound seminggu yang juga penerima gaji terbanyak di kelab itu setakat ini kepada 300,000 pound seminggu.
Ia dilihat sebagai usaha bagi menghalang pemain yang dinilai 200 juta pound itu berpindah ke Sepanyol untuk menyertai Real Madrid yang dikatakan berminat untuk membelinya.
Sementara itu, Hazard dan Thibaut Courtois, dikatakan menjadi sasaran Real Madrid dengan bidaan 35.5 juta pound, masih belum kembali menjalani latihan hujung minggu selepas percutian susulan penglibatan Belgium dalam separuh akhir Piala Dunia. – AFP