LONDON, 5 MEI – Chelsea kukuhkan usaha mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-1 menundukkan juara Liga Perdana, Liverpool di Stamford Bridge kelmarin.
Pasukan Enzo Maresca mendahului menerusi jaringan awal Enzo Fernandez diikuti jaringan sendiri, Jarell Quansah pada separuh masa kedua dan dibalas oleh jaringan Virgil van Dijk untuk Liverpool.
Jaringan Cole Palmer melalui penalti pada masa kecederaan mengesahkan kekalahan ketiga juara liga berkenaan pada musim ini.
Walaupun Liverpool seakan tidak bersemangat lagi untuk bermain selepas menang mahkota Inggeris kali ke-20, Chelsea pula mengejar untuk memperoleh tiga mata yang tidak ternilai.
“Sangat penting, terutamanya pada peringkat musim ini. Saya sangat kagum dengan pemain,” kata Maresca.
“Kami tidak bercadang untuk menunggu dan bertahan tetapi mereka memaksa kami mengasak dan ini menunjukkan mengapa mereka memenangi Liga Perdana kerana mereka adalah pasukan teratas.”
Berharap untuk kembali ke Liga Juara-Juara menerusi penamat lima teratas, The Blues menduduki tempat kelima, sama mata dengan pasukan di tangga keempat, Newcastle yang seri 1-1 di Brighton.
“Pastinya, Chelsea perlu bertarung untuk Liga Juara-Juara dan diharapkan pada masa hadapan kami boleh berjuang untuk sesuatu yang lebih penting,” kata Maresca.
“Pada masa ini kami berada di sana dan berharap kami dapat menamatkannya.”
Chelsea juga kembali beraksi dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Persidangan UEFA menentang Djurgardens pada hari Khamis nanti dengan kedudukan 4-1 yang sepatutnya cukup untuk menghantar mereka ke final pertama dalam pemerintahan Maresca.
Manakala Liverpoll hanya pernah kalah dua kali sebelum ini, ketika menentang Nottingham Forest pada September dan di Fulham pada April lalu
“Seorang yang bijak pernah berkata, tiada apa yang baik setelah menang perlawanan bola sepak dan saya perlu bersetuju dengannya. Cara kami kalah adalah lebih positif, saya fikir,” kata Slot.
“Jika awda melihat reaksi kami selepas ketinggalan 2-0, kami bangkit dan kami tidak pernah berputus asa.
“Ia menentang pasukan Chelsea yang hebat. Mungkin kami terlepas sedikit perkara yang biasa kami alami.”
Sebelum sepak mula, pemain Chelsea berbaris untuk memberikan kawalan kehormat apabila Liverpool melangkah masuk ke padang. – AFP
