LONDON, 6 OKT – Graham Potter mengakui kemenangan 3-0 Chelsea berdepan AC Milan ‘amat penting’ ketika mereka kembali merebut tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara semalam.
Skuad kendalian Potter menang kali pertama dalam tiga aksi Kumpulan E menerusi gol pertama Wesley Fofana buat Chelsea diikuti jaringan babak kedua Pierre-Emerick Aubameyang dan Reece James di Stamford Bridge.
Chelsea memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kekalahan memalukan di Dinamo Zagreb sehari sebelum Thomas Tuchel dipecat manakala perlawanan sulung Potter berakhir dengan seri di Salzburg.
Namun pasukan tangga kedua, Chelsea kini sama empat mata dengan Milan menjelang kunjungan penting ke San Siro untuk berdepan juara Itali itu pada 11 Oktober.
Menerusi baki tiga perlawaan untuk setiap pasukan, pendahulu, Salzburg kini satu mata di atas Chelsea selepas menewaskan Dinamo Zagreb 1-0.
“Ia malam yang bagus. Kami perlu bermain baik. Perwatakan pemain menakjubkan. Personaliti mereka bagus,” kata Potter.
“Adalah amat penting untuk menang tetapi perjalanan masih panjang dalam kejohanan ini.”
Kemaraan dalam Liga Juara-Juara penting buat Potter bagi mengukuhkan personaliti dalam skuad mahal yang dikumpulkan pemilik baharu Chelsea yang pastinya mengharapkan kejayaan segera. Ketika Chelsea masih perlu bertarung untuk mara ke pusingan kalah mati, Potter mendapat galakan hasil persembahan paling dinamik dalam tiga perlawanan dilaluinya selepas menggantikan Tuchel.
“Pemain bersikap sangat terbuka, bertanggungjawab dan menakjubkan untuk bekerja dengan mereka. Mereka sedar belum berada pada tahap baik. Itu adalah hebat daripada sudut pandangan jurulatih,” kata Potter. Pengurus Milan, Stefano Pioli menambah, “Kami tidak cukup bahaya, kami perlu memberi pujian kepada lawan, tapi ia juga kerana kami.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan mencabar tetapi secara mentalnya kami bermain sebagai sebuah pasukan.” – AFP
