LONDON, 31 OGOS – Chelsea dikejutkan dengan kekalahan 2-1 menentang Southampton di gelanggang lawan ketika mereka mengharungi permulaan yang tidak menentu dalam aksi di Liga Perdana, kelmarin.
Skuad bimbingan Thomas Tuchel menjaringkan gol pendahuluan di St Mary’s selepas Raheem Sterling meletakkan mereka di depan pada pertengahan separuh masa pertama.
Penyerang England, Sterling menjaringkan gol ketiganya dalam dua perlawanan dengan rembatan jarak dekat pada minit ke-23.
Tetapi Chelsea telah mensia-siakan banyak peluang sebelum jaringan pembukaan Sterling dan ini bukan pertama kali berlaku dalam pengendalian Tuchel, penyudah boros mereka kembali menghantui mereka.
Romeo Lavia menyamakan kedudukan pada minit ke-28 dengan gol pertamanya untuk Southampton, hasil percubaan melencong dari tepi kotak penalti selepas Chelsea gagal untuk menyelamatkan bola daripada sepakan sudut itu.

Adam Armstrong meletakkan Southampton di hadapan pada separuh masa pertama apabila dia menerima hantaran Romain Perraud dan melakukan rembatan melencong melepasi penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.
Chelsea, tewas 3-0 di Leeds dalam perlawanan di tempat lawan sebelum ini, tidak dapat memberikan reaksi balas apabila mereka mengalami kekalahan kedua daripada tiga perlawanan terakhir mereka.
Dengan hanya dua kemenangan daripada lima perlawanan pertama mereka, The Blues sudah ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Arsenal, yang bermain menentang Aston Villa pada hari Rabu.
Walaupun membuat perbelanjaan besar-besaran musim tutup ini, yang akan diteruskan dengan beberapa lagi pemain yang dicadangkan sebelum tarikh akhir perpindahan Khamis ini, Chelsea sedang bergelut untuk mencari pemain momentum yang berterusan pada masa ini.
Walaupun masih terlalu awal untuk menyingkirkan mereka daripada perebutan kejuaraan, Tuchel bimbang dengan persembahan kurang memuaskan dipamerkan pasukannya dengan kesilapan utama di kedua-dua hujung padang, yang sudah dikritik oleh pengurus ity secara terbuka selepas tewas di tangan Leeds. – AFP