Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chen Xing, Xiao Yue berlepas ke Malaysia

    KUALA LUMPUR, 18 NOV – Pasangan panda gergasi dari China, Chen Xing dan Xiao Yue berlepas ke Malaysia hari ini.
     
    Diiringi sorakan dan ucapan selamat jalan, pasangan panda gergasi itu berlepas ke Kuala Lumpur, menandakan fasa baharu dalam kerjasama pemuliharaan panda Malaysia-China.
     
    Panda berkenaan dijadualkan tiba di Zoo Negara pada kira-kira 9:30 malam ini.
     
    Kedutaan China di Malaysia berkongsi beberapa gambar di laman media sosial rasminya, memaparkan kedua-dua panda itu menaiki trak pengangkut haiwan khas Sinotruk HOWO yang digelar kenderaan pengangkut ‘Khazanah Negara China’ berlepas dari Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Panda Gergasi dengan kawalan rapat oleh kakitangan.
     
    Gambar berkenaan turut menunjukkan trak itu, yang memaparkan tulisan dalam bahasa Inggeris, “Farewell for Giant Pandas Chen Xing and Xiao Yue to National Zoo, Malaysia”, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Shuangliu sekitar 4 petang.
     
    Pasangan panda gergasi dari China sebelum dihantar ke Malaysia. – GAMBAR DARI FB KEDUTAAN CHINA DI MALAYSIA
    Ini menandakan permulaan kerjasama penyelidikan dan pemuliharaan panda gergasi Malaysia-China yang baharu selama 10 tahun. Perjanjian mengenainya ditandatangani pada April tahun ini semasa lawatan negara selama tiga hari oleh Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
     
    Menurut portal kerajaan Wilayah Sichuan, Chen Xing, panda jantan yang lahir pada Ogos 2020 adalah anak kepada pasangan panda Taishan dan Xiaobaitu yang dinamakan sempena kegemilangannya seperti bintang yang melambangkan aspirasi berterusan terhadap cahaya dan kemajuan, serta digambarkan sebagai tenang dan “berwibawa”.
     
    Xiao Yue, panda betina yang lahir pada September 2020 merupakan anak kepada pasangan Lanzi dan Shuqin, dinamakan bagi mencerminkan kesucian dan kelembutan cahaya bulan pada waktu subuh dan digambarkan sebagai berperwatakan lembut dan tenang.
     
    Pangkalan Dujiangyan di Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Panda Gergasi China memulakan persiapan untuk penghantaran pasangan panda gergasi itu pada kira-kira 7 pagi Selasa.
     
    Deng Linhua, seorang doktor haiwan di pusat berkenaan, berkata kedua-dua panda itu telah menjalani kuarantin dan pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut peraturan bagi memastikan ketibaan yang selamat di Malaysia. Kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat.
     
    “Doktor haiwan dan penjaga akan menemani panda itu sepanjang perjalanan untuk memantau kesihatan dan diet mereka, dan dua kakitangan akan kekal di Malaysia sehingga haiwan itu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” menurut laporan berkenaan.
     
    Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China dan Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Panda Gergasi China turut mengadakan majlis perpisahan pada Isnin untuk kedua-dua panda itu di Dujiangyan, Wilayah Sichuan.
     
    Pada 2014, pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi dihantar ke Malaysia sebagai duta simbolik sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik China-Malaysia. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda