Cheng Hoe pertahan taktikal Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 8 NOV – Menjelang kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe akhirnya membuka mulut berhubung pandangan serta kritikan terhadap mutu permainan pasukan bimbingannya.

Selepas hanya mencatatkan satu kemenangan daripada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe bukan sahaja menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, malah turut menarik perhatian pemerhati serta pengkritik sukan tempatan.

Antara elemen yang hebat dipersoalkan adalah berkaitan pemilihan pemain dan taktikal pasukan, dengan beberapa pihak berpendapat sudah tiba masa pengendali berusia 53 tahun itu, memberikan nafas baharu dalam skuad selain mengubah formasi yang digunakan.

Namun, Cheng Hoe yang terkenal dengan ketenangannya, mempertahankan tindakan beliau sambil menjelaskan cadangan supaya skuad kebangsaan menggunakan formasi 3-4-3, perlu dilihat dari sudut ketersediaan pemain di posisi tertentu.

“Saya rasa cadangan itu bagus, tetapi kita perlu lihat sama ada kita ada pemain yang boleh bermain di posisi tersebut, selain kena lihat dan kaji semula adakah kita mempunyai kualiti pada permainan dengan posisi baharu itu. 

“Mungkin pandangan itu disebabkan pengkritik tengok EPL (Liga Perdana Inggeris), Liga Itali atau Liga Sepanyol, jadi dia membuat perbandingan tetapi pemain kita adakah sampai ke tahap itu?” katanya ketika dihubungi Bernama. – Bernama