KUALA LUMPUR, 31 MEI – Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe percaya masa akan tiba untuk melihat impak kehadiran tiga pemain naturalisasi dalam pasukan bimbingannya menjelang misi getir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Khamis ini.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada Khamis sebelum menentang Vietnam dan Thailand masing-masing pada 11 dan 15 Jun.
Cheng Hoe berkata situasi menjadi lebih mudah buat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga pemain naturalisasi pertama negara Malaysia, Mohamadou Sumareh, yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan pada kempen kelayakan itu yang bermula sejak September 2019, bagi mendapatkan rentak permainan.
Namun, beliau berkata bukan mudah buat dua pemain naturalisasi baharu negara Liridon Krasniqi yang beraksi di liga profesional Australia bersama Newcastle Jets dan penyerang baharu JDT Guilherme De Paula yang pertama kali menyertai skuad kebangsaan untuk menemui keserasian bersama pemain lain.
“Tapi kedua-dua pemain (Liridon dan De Paula) ini terus mencuba setiap kali dalam perlawanan atau latihan, mereka memberikan 100 peratus komitmen dan kerjasama sebagai satu pasukan,” kata Cheng Hoe. – Bernama