Chennai diperintah lockdown semula

CHENNAI, 19 JUN – Sekatan pergerakan dikenakan semula terhadap 15 juta penduduk di selatan India berikutan jangkitan COVID-19 kini mencecah hampir 400,000 orang.

Sekatan terkini merangkumi Chennai, ibu kota Tamil Nadu dan daerah sekitarnya berikutan lonjakan kes, walaupun negara dengan 1.3 bilion penduduk itu baru saja beransur-ansur kembali kepada kehidupan biasa. Ketika 12 hari sekatan pergerakan, kedai makan dan stesen minyak hanya boleh beroperasi antara jam 6 pagi hingga 2 petang, manakala penduduk dibenarkan keluar dalam lingkungan dua kilometer dari rumah kecuali bagi kecemasan.

“Sekiranya seseorang memanggil saya untuk memeriksa atau membaiki penyaman udara, saya akan melakukannya jika berada dalam radius dua kilometer,” kata Kumar, pemilik sebuah kedai pembaikan elektrik di Chennai, di mana jalan-jalan yang biasanya sibuk menjadi lengang.

“Tetapi saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa sangat tegas menguatkuasakan perintah pergerakan selepas jam 2 petang.”

India mencatatkan lebih 380,000 kes COVID-19 iaitu keempat tertinggi di dunia dengan 12,605 kematian, menurut data Kementerian Kesihatan.

Namun, ramai pakar berpendapat angka sebenar adalah jauh lebih tinggi berikutan kekurangan ujian bagi virus itu selain kekangan keupayaan untuk memeriksa begitu ramai orang. Minggu ini India menaikkan jumlah kematian rasminya lebih daripada 2,000 orang selepas pusat kewangan Mumbai meningkatkan jumlah kematian hampir 900 orang selepas data diaudit.

Virus tersebut merebak di seluruh Asia Selatan, tempat tinggal beberapa kota paling padat dan termiskin di dunia. – AFP

Penunggang motosikal dilihat di bawah jejambat Guindy yang sepi selepas penutupan semula dilaksanakan sebagai langkah pencegahan terhadap penyebaran koronavirus COVID-19, di Chennai kelmarin. – AFP