Monday, March 3, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chevrolet perkenal servis baru

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Bagi mengesahkan semula dedikasi dalam perkhidmatannya kepada pelanggan di Brunei, Chevrolet Brunei telah memperkenalkan ‘Chevrolet Complete Care’ bagi pelanggan mereka baru dan sedia ada.

    Program berkenaan telah diperkenalkan hari ini, di Pusat Servis Chevrolet, Perindustrian Beribi.

    Direka untuk menawarkan lebih banyak daripada apa yang dijangkakan pemilik Chevrolet, program lepas jualan yang komprehensif itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk jaminan sehingga tiga tahun atau 100,000km bagi pembeli Chevrolet baru; bantuan penundaan 24/7 dan servis segera; perkhidmatan berkualiti daripada juruteknik-juruteknik Chevrolet yang berkelayakan; kos perkhidmatan yang telus; tempahan temu janji perkhidmatan berjadual; dan Program GHK Privilege Card.

    Pengarah GHK Motors Sdn Bhd, Jack Goh semasa pengenalan program berkenaan menjelaskan bahawa ‘Chevrolet Complete Care’ adalah pakej penjagaan kenderaan yang memberikan kemudahan lebih baik kepada semua pelanggan, sambil memupuk keyakinan yang kukuh dalam membeli Chevrolet.

    Beliau juga menjelaskan bahawa program berkenaan bertujuan untuk memberikan pengalaman pemilikan Chevrolet yang memuaskan dan benar-benar berharga untuk semua pelanggan Chevrolet.

    Eksekutif Pemasaran Chevrolet Brunei ketika menjelaskan mengenai GHK Privilege Card.
    Chevrolet Brunei telah memperkenalkan Chevrolet Complete Care bagi pelanggan mereka yang baru dan sedia ada.

    “Kami menunjukkan komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kenderaan yang cemerlang dan bermakna, pada masa yang sama untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap pelanggan tetapi melebihi jangkaan mereka,” jelas Jake Goh lagi.

    Selain memperkenalkan perkhidmatan baru yang berorientasikan pelanggan, Chevrolet mengukuhkan komitmennya untuk terus meningkatkan rangkaian perniagaan di Brunei. Semua pusat servis Chevrolet dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan dan sistem analisis untuk menjalankan penyelenggaraan dan pembaikan.

    Di samping itu, Chevrolet menyediakan latihan yang meluas untuk semua kakitangan perkhidmatan, daripada juruteknik hingga wakil jualan.

    Manakala itu, Eksekutif Pemasaran Chevrolet Brunei, Dayang Nur Nabilah binti Zaini pula menjelaskan mengenai GHK Privilege Card yang katanya diperkenalkan bagi mempromosikan pengalaman pemilikan positif untuk pelanggan yang melangkaui penjagaan dan perkhidmatan kereta. Chevrolet telah bekerjasama dengan jenama terkemuka untuk memperkenalkan keistimewaan kepada pelanggan yang dihargai.

    Dengan adanya kad keistimewaan itu, ahli-ahli berhak mendapat diskaun di pelbagai perniagaan termasuk makan, gaya hidup, automotif, percutian, membeli-belah dan kecantikan.

    Pemegang atau ahli kad juga menerima diskaun 30 peratus daripada harga lepas jualan dan mendapatkan mata yang boleh ditebus dengan pembelian barang dagangan.

    Semasa pengenalan program itu, Jake Goh turut mengambil kesempatan mengumumkan bahawa mereka sedang mengadakan pameran di The Mall Gadong bermula hari ini hingga 28 Ogos, dari 10 pagi hingga 10 malam di mana para pelanggan boleh melihat lebih dekat Chevrolet Trailblazer dan Sonic terbaru.

    Pada acara pengenalan program itu, para pengamal media juga dibawa melawat ke bengkel Chevrolet, bagi melihat lebih dekat perkhidmatan mereka yang berkualiti serta alat-alat yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda