Wednesday, February 19, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chevron bakal tamatkan perkhidmatan 15-20 peratus tenaga kerja global

    HOUSTON, 13 FEB – Syarikat minyak gergasi Amerika Syarikat, Chevron mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan memberhentikan antara 15 hingga 20 peratus daripada 40,000 tenaga kerja globalnya menjelang akhir 2026, lapor Xinhua.

    Chevron, yang baru-baru ini memindahkan ibu pejabatnya dari San Ramon, California ke Houston, Texas memaklumkan langkah itu bertujuan mengurangkan kos dan memudahkan operasi.

    “Chevron mengambil langkah untuk memudahkan struktur organisasi, melaksanakan strategi dengan lebih pantas dan berkesan serta meletakkan syarikat pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka panjang.

    “Kami tidak membuat keputusan ini dengan mudah dan akan menyokong pekerja kami sepanjang tempoh itu,” kata Naib Pengerusi Chevron, Mark Nelson dalam satu kenyataan.

    Menurut laporan laman berita Chron, Chevron memaklumkan kepada pekerja dalam satu mesyuarat dalaman bahawa tawaran tawaran pemberhentian secara sukarela dibuka mulai sekarang hingga April atau Mei.

    Kesannya, antara 6,000 hingga 8,000 pekerja dijangka kehilangan pekerjaan, dengan syarikat itu menyasarkan penjimatan antara AS$2 bilion hingga AS$3 bilion menjelang 2026 menerusi penggunaan teknologi, penjualan aset dan penstrukturan semula perniagaan. – Bernama

    Seorang pelanggan mengisi petrol ke dalam kenderaan BMW di stesen minyak Chevron di Santa Monica, California, pada 20 Mac 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda