Thursday, December 19, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chew Kin Wah kongsi pengalaman berlakon di indonesia

    Hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang, lebih baik di negeri sendiri.

    Itulah semangat kecintaan yang ditunjukkan oleh pelakon, Chew Kin Wah terhadap industri seni tanah air meskipun sudah selesa mengembangkan kerjayanya di Indonesia.

    Bakal membawakan watak sebagai Tabib Chan Teck Tuck menerusi drama Legenda Puteri Qaseh, Kin Wah berharap agar penerbit dan pengarah tempatan tidak terkeliru tentang keberadaannya. “Saya rasa banyak rumah produksi yang tidak tahu saya masih menetap di Malaysia. Dalam fikiran mereka, saya sudah duduk di sana. Saya masih lagi pemegang pasport merah,” ujarnya.

    “Malaysia tanah tumpah darahku. Saya hanya pergi ke Indonesia jika ada tawaran kerja. Tawaran daripada Redcom memang lumayan bukan sahaja daripada aspek wang tetapi juga jalan cerita,” tambahnya.

    “Ini pertama kali saya berlakon di saluran Astro Ceria. Mungkin sebab muka saya bengis dan sebab itu saya selalu dapat watak antagonis,” katanya.

    Chew Kin Wah luah semangat kecintaan tanah air meskipun sudah mengembangkan kerjaya di Indonesia. – Agensi

    Dalam pada itu, pelakon berusia 57 tahun itu turut mendedahkan suasana kerja di Malaysia dan Indonesia tidak mempunyai banyak perbezaan.

    “Pada saya sama sahaja. Ada baik dan buruknya. Ada rumah produksi yang sangat bagus begitu juga sebaliknya. Saya amat bertuah kerana berkesempatan untuk bekerja dengan rumah produksi yang semuanya melayan saya dengan baik.”

    “Sudah tentu saya lagi suka bekerja di Malaysia. Keluarga dan kawan-kawan saya semua ada di sini,” ujarnya lagi.

    Bercakap soal bayaran pula, Kin Wah akui tawaran di Indonesia sememangnya lebih lumayan disebabkan beberapa faktor.

    “Bayaran berlakon di Indonesia memang lumayan tetapi harus diingat kos sara hidup di sana juga tinggi,” jelasnya.

    “Kos makan minum juga lagi mahal daripada Malaysia. Cukainya sangat tinggi. Jadi, kita harus merancang dengan betul segala perbelanjaan sepanjang di sana. Makan di tempat mana? Menginap di hotel mana? Semua harus diambil kira,” kongsinya lagi.

    Bagaimanapun, Kin Wah akui dirinya sedikit kecewa kerana kebanyakan watak yang ditawarkan untuk berlakon dalam karya tempatan agak kurang mencabar. “Di Indonesia, saya dapat tawaran untuk berlakon pelbagai jenis watak. Saya dapat watak jurulatih badminton dan berpeluang berlakon karya sastera di sana. Mungkin penulisan cerita di sini belum berkembang seperti di sana tapi sekarang, saya tidak tahu.

    “Seperti yang awda tahu, filem atau drama di sini ada pecahan mengikut bangsa,”jelasnya.

    “Kalau dalam karya tempatan, watak yang saya akan bawakan contohnya adalah tauke kedai runcit.

    “Itu sahaja. Saya akui memang agak kecewa tapi sebab hendak cari pendapatan, saya buat sahaja,” tambahnya.

    Di Indonesia, Kin Wah telah membintangi filem-filem seperti Cek Toko Sebelah, My Stupid Boss dan Susah Sinyal.

    Selain Kin Wah, drama itu turut di-bintangi pelakon seperi Qasrina Karim, Datuk Yusry dan Datin Lisa Surihani. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda