Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Produk makanan Chicken Spread jenama Lady’s Choice didapati tidak halal sebagaimana yang telah disahkan oleh syarikat pengedar Lady’s Choice Philippines melalui laman sesawangnya dalam Frequently Asked Questions (FAQs).
Ini juga termasuk semua produk lain yang mengandungi daging (termasuk ikan) adalah tidak halal, menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) setelah pemeriksaan dibuat berikutan aduan orang ramai.
Sehubungan dengan itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah, telah pun mengarahkan pemilik premis untuk mengasingkan semua produk tersebut dengan serta-merta di tempat atau ruang Non Halal Section yang tidak terdedah pada penjualan awam.
Oleh itu, semua pengimport, pasar raya dan kedai di negara ini juga dinasihatkan supaya melakukan tindakan pengasingan dengan serta-merta jika terdapat produk sama diedarkan dan dijual di premis masing-masing.
KHEU juga mengingatkan pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk import yang akan dijual kepada orang ramai dengan memastikan produk-produk yang halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.
Ini demi menjaga mas-lahat masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak mengambil dan memakan produk yang tidak halal atau diragui kehalalannya.
Di samping itu, orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai penjualan produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah hubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH.
