Chiesa tonggak kemenangan bagi Juventus

TURIN, ITALI, 30 SEPT – Federico Chiesa membuktikan dia seorang pemain yang berpotensi ketika menjaringkan gol tunggal Juventus menentang Chelsea 1-0 dalam Liga Juara-Juara yang dapat membangkitkan semula pasukannya.

Menduduki tempat ke-10 dalam Serie A, Juve menguasai tangga teratas dalam kumpulan H dalam Liga Juara-Juara dengan enam mata penuh selepas Chiesa menjaringkan gol 10 saat selepas separuh masa kedua berlangsung.

Pasukan Massimiliano Allegri menumpaskan juara Eropah, walaupun kehilangan penyerang Paulo Dybala dan Alvaro Morata, dengan permainan yang berdisiplin, mereka berjaya menumpaskan Chelsea.

“Kami mempamerkan semangat Juventus malam ini seperti yang diinginkan oleh jurulatih kami,” beritahu Chiesa, yang telah dikritik oleh Allegri pada musim ini, kepada Amazon.

“Tiada masalah antara saya dengan jurulatih, saya hanya lakukan apa yang disuruh. Apabila Juve memberikan prestasi yang kurang baik, terdapat beberapa teguran yang diberikan: kami semua ingin membangkitkan semula pasukan kami.”

Juve berada tiga mata di hadapan Chelsea dan Zenit, yang akan menentang Juve dalam masa tiga minggu.

Chelsea telah menguasai awal perlawanan tetapi pasukan rumah terlebih dahulu berpeluang untuk menjaringkan gol. Taktik perlawanan Juve dalam menghalang Chelsea untuk menerima hantaran telah berhasil walaupun mereka sering kali cuai dalam menghalang percubaan dari N’Golo Kante dan Mason Mount. – AFP

Reaksi pemain Juventus meraikan kemenangan bersama para peminat dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Chelsea kelmarin. – AFP