Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chihuahua selamatkan pendaki dari rekahan ais Alpine

    GENEVA, 7 JULAI – Dalam dunia penyelamatan di kawasan pergunungan, anjing St. Bernard mungkin telah menemui saingannya, apabila seekor Chihuahua dipuji kerana membantu menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam rekahan glasier di Switzerland.

    Penyelamatan yang dianggap ‘luar biasa’ itu berlaku pada Jumaat lalu di Glasier Fee, yang terletak di atas kawasan Saas-Fee di Pergunungan Alps selatan Switzerland, menurut kenyataan perkhidmatan penyelamat Air Zermatt hujung minggu ini.

    Seorang lelaki sedang mendaki glasier bersama anjing Chihuahua miliknya pada awal petang Jumaat apabila beliau tiba-tiba terjatuh ke dalam rekahan sedalam lapan meter, meninggalkan anjing kecil itu keseorangan di tepi rekahan.

    Lelaki itu membawa alat walkie-talkie amatur dan sempat meminta bantuan, tetapi pasukan penyelamat mengambil masa lama untuk mengesan lokasi sebenar kejadian.

    “Di lokasi, pencarian tempat runtuhan adalah sangat sukar disebabkan oleh permukaan glasier luas dan lubangnya hampir tidak kelihatan,” menurut Air Zermatt, perkhidmatan penyelamat di kanton Wallis.

    Namun, salah seorang penyelamat terlihat satu pergerakan kecil di atas batu dan Chihuahua itu tidak berganjak dari tepi rekahan tersebut.

    “Terima kasih kepada tingkah laku anjing itu, pasukan berjaya mengenal pasti lokasi tepat kejadian,” kata Air Zermatt, sambil menambah “penyelamat telah menuruni rekahan menggunakan tali dan berjaya menyelamatkan mangsa.”

    Tambahnya, “Boleh dikatakan tingkah laku anjing itu memberikan sumbangan besar terhadap kejayaan operasi penyelamatan itu.” – AFP

    Gambar ini menunjukkan seekor anjing Chihuahua yang membantu pasukan penyelamat menemui pemiliknya di Pergunungan Alps, Switzerland, pada 7 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda