KUALA LUMPUR, 7 NOV – Childrity kini dalam proses membangunkan projek perkampungan Malaysia atau MyKampung di Baghlan, Afghanistan bagi menyediakan tempat tinggal selamat dan selesa kepada keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.
Childrity dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee itu dibangunkan atas tanah wakaf yang diserahkan kepada Childrity melibatkan pembinaan 20 rumah kekal bagi fasa pertama.
Menurut kenyataan itu, lawatan ke tapak MyKampung tersebut dijalankan bersempena misi kemanusiaan Childrity di Afghanistan yang dilanda gempa bumi besar baru-baru ini.
“Walaupun fokus utama misi tersebut adalah bantuan kecemasan kepada mangsa bencana, pasukan Childrity turut meninjau perkembangan projek MyKampung yang kini menunjukkan kemajuan sangat positif dengan lebih 50 peratus telah siap dan dijangka siap sepenuhnya sebelum Ramadan tahun hadapan.
“Setiap rumah dibina menggunakan bahan berkualiti dan reka bentuk yang tahan terhadap bencana seperti gempa bumi dan banjir, bagi menjamin keselamatan serta keselesaan jangka panjang penghuni,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Farah Lee dalam kenyataan sama berkata projek MyKampung Baghlan itu bukan sekadar pembinaan rumah, sebaliknya usaha untuk membangunkan kehidupan baharu yang lebih baik dan stabil kepada keluarga terjejas.
“Ramai keluarga sebelum ini terpaksa tinggal dalam khemah atau rumah tanah liat di bawah paras bumi bagi menahan sejuk dan panas. Melalui projek ini, mereka akhirnya akan memiliki tempat berteduh yang selamat, kukuh dan lebih manusiawi,” katanya.
Sehubungan itu, Childrity menyeru semua pihak khususnya rakyat Malaysia, syarikat korporat dan para dermawan untuk berkongsi sedikit nikmat dan kegembiraan dengan rakyat Afghanistan yang sedang berjuang meneruskan kehidupan. – Bernama

