SANTIAGO, 11 NOV – China mengumumkan ia akan merangka perlembagaan baharu dan mengganti yang lama yang wujud sejak pemerintahan diktator Augusto Pinochet, tuntutan utama pembantah yang telah membelenggu negara selama tiga minggu.
Perlembagaan baharu akan digubal oleh badan yang dinamakan perhimpunan konstituen dan seterusnya dikemukakan kepada referendum untuk disahkan, kata Menteri Dalam Negeri Gonzalo Blumel semalam.
Blumel membuat pengumuman itu selepas bertemu dengan ketua parti gabungan, yang sehingga sekarang telah keberatan meminda perlembagaan yang diwarisi dari era Pinochet, dari 1973 hingga 1990.
Kerajaan sedang dalam proses menyediakan ‘draf pindaan perlembagaan,’ kata Presiden Sebastian Pinera dalam satu temu bual yang disiarkan oleh akhbar El Mercurio pada Sabtu.
Di antara perubahan yang dicadangkan adalah ‘definisi hak manusia yang lebih baik’ dan makna penguatkuasaan, serta penjelasan mengenai ‘kewajipan kerajaan’ dan ‘mekanisme penyertaan yang lebih baik’ untuk rakyat, tambah presiden.
Perlembagaan sekarang, berkuat kuasa sejak 1980, telah pun menjalani lebih 200 pindaan dalam lebih 40 artikel, kata Pinera.
Namun ia tidak menjelaskan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan pendidikan dan penjagaan kesihatan, dua tuntutan utama yang dibuat oleh jutaan penduduk Chile yang telah membanjiri jalan raya.
Mogok sektor awam telah diadakan hari ini, di tengah krisis terbesar sejak pengembalian Chile kepada demokrasi pada 1990, yang telah mengorbankan 20 orang, lima di tangan tentera dan lebih 1,000 cedera. – AFP
