SANTIAGO, 16 SEPT – Chile bakal membenarkan kemasukan warga asing yang lengkap dos vaksin COVID-19 bermula 1 Oktober.
“Semua penduduk tempatan dan warga asing disarankan mengamalkan sikap bertanggungjawab dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” lapor Agensi Berita Xinhua memetik pengumuman kerajaan kelmarin. Warga asing bukan pemastautin yang ingin memasuki negara Chile wajib menunjukkan bukti vaksinasi, ujian PCR negatif yang diambil tidak lebih 72 jam sebelum ketibaan dan pasport vaksin selain mematuhi peraturan kuarantin.
Kemasukan hanya melalui lapangan terbang antarabangsa di Iquique, Antofagasta dan Santiago, atau menerusi sempadan darat.
Hanya rakyat Chile dan penduduk asing yang mempunyai pas mobiliti yang dikeluarkan kerajaan dibenarkan meninggalkan negara itu. – Bernama