Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chile hadkan kedatangan pelancong ke Pulau Easter

    PULAU Easter terkenal dengan patung-patung monumen Moai yang unik dan telah diukir oleh masyarakat Rapa Nui, yang dipercayai telah tiba di daratan pulau tersebut yang terletak di kawasan jauh Lautan Pasifik Tenggara sekitar abad ke-12.

    Walaupun terletak di kawasan terpencil iaitu kira-kira 3,500 km dari pesisir Chile, pulau ini merupakan destinasi pelancongan yang terkenal, disebabkan oleh khazanah luar biasa yang terdapat di pulau itu iaitu 900 arca tokoh manusia dengan ciri-ciri tersendiri dan berdiri sehingga 10 meter tinggi.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan pelancong dan pendatang telah menjadi isu utama dan memberi ancaman kepada kesejahteraan pulau itu. Chile yang telah memiliki pulau itu pada tahun 1888, memutuskan untuk bertindak menangani masalah berkenaan.

    Pada tahun 2007, Pulau Easter telah ditetapkan sebagai wilayah khas manakala pada bulan Mac, pihak kongres negara itu telah mengundi bagi mengehadkan kedatangan jumlah pelancong dan penduduk asing atau penduduk tempatan di tanah besar di pulau tersebut serta memberikan durasi masa untuk tinggal di pulau itu.

    Peraturan semakin ketat

    Baru-baru ini, peraturan baharu akan berkuat kuasa bagi mengurangkan masa kedatangan pelancong dan penduduk tempatan yang bukan terdiri daripada masyarakat Rapa Nui serta mereka hanya akan dibenarkan tinggal di pulau itu dari 90 hari hingga 30 hari. “Pendatang asing sudah mengambil alih pulau ini,” kata Ketua Pulau tersebut, Pedro Edmunds kepada AFP.

    Patung-patung monumen Moai yang unik dan diukir oleh masyarakat Rapa Nui dipercayai tiba di pulau Easter sekitar abad ke-12. – AFP
    Walaupun terletak di kawasan terpencil iaitu kira-kira 3,500 km dari pesisir Chile, pulau Easter merupakan destinasi pelancongan yang terkenal, disebabkan khazanah luar biasa yang terdapat di pulau itu. – AFP

    Semasa projek banci penduduk yang dilakukan pada tahun 2017, terdapat sekitar 7,750 penduduk tinggal di Pulau itu, hampir dua kali ganda penduduk daripada beberapa dekad yang lalu, sebelum pulau itu berdepan dengan ledakan pelancongan dan pembangunan hartanah, Edmunds mengatakan bilangan penduduk sekitar, 3,000 sudah terlalu banyak apatah lagi 7,750.

    “Mereka cuba merosakkan keunikan tempatan, nilai budaya sudah berubah dan bukan untuk ke arah kebaikan,” katanya, sambil mengatakan bahawa ‘adat dari benua’ menyusup masuk ke pulau itu dan memaparkan sesuatu yang tidak positif.

    Angka jenayah dan keganasan rumah tangga juga turut meningkat. Bukan sahaja penduduk tempatan di tanah besar menyebabkan masalah besar tetapi peningkatan bilangan pelancong turut merosakkan alam sekitar.

    Semua perkhidmatan asas berada di bawah tekanan, begitu juga pengurusan pembuangan sampah, Ana Maria Gutierrez, penasihat alam sekitar kerajaan tempatan berkata kepada AFP.

    Satu dekad yang lalu, pulau itu mampu menjana sekitar 1.4 metrik tan sisa buangan setiap tahun bagi penduduk tempatan namun angka itu hampir dua kali ganda meningkat kepada 2.5 tan pada hari ini, di mana hanya sebilangan kecil sahaja penduduk di pulau itu melakukan kitar semula. “Alam sekitar di pulau ini semakin rapuh,” tambah Gutierrez.

    Berpuas hati?

    Walau bagaimanapun, undang-undang baharu itu mengenakan peraturan yang lebih ketat kepada mereka yang ingin tinggal di pulau itu, iaitu seperti pendatang itu mestilah ada kaitan dengan masyarakat Rapa Nui, sama ada ibu bapa, pasangan kekasih atau anak. Manakala yang lain-lain hanya akan dibenarkan tinggal seperti kakitangan awam, pekerja organisasi yang menyediakan perkhidmatan kepada pihak kerajaan dan mereka yang membangunkan aktiviti ekonomi bebas bersama keluarga mereka.

    Semasa ketibaan di pulau itu, pelancong mestilah mengemukakan lokasi tempahan hotel mereka atau jemputan dari penduduk. Kaedah ini mewujudkan satu kapasiti maksimum yang belum lagi diputuskan. Tetapi Edmunds tidak senang dengan tindakan itu, kerana dia merasakan peraturan itu tidak cukup bagi melindungi budaya, warisan dan keunikan pulau berkenaan.

    “Saya tidak bersetuju dengan peraturan itu, ia tidak cukup kerana ia tidak mencerminkan semua aspek kepentingan pulau itu,” katanya sambil mengakui bahawa kebanyakan penduduk asli pulau itu menyukai jika terdapatnya larangan yang penuh terhadap kedatangan penduduk baharu.

    Walau bagaimanapun, dia berkata bahawa undang-undang itu sekurang-kurangnya membawa satu permulaan yang baik.

    Rapa Nui merupakan masyarakat Polinesia yang berhubung rapat dengan penduduk di Tahiti, di mana majoriti penduduk Chile mempunyai keturunan bangsa Eropah dan minoriti penduduknya terdiri dari penduduk asli. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda