Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chile tundukkan Portugal

    KAZAN, Rusia, 29 Jun – Claudio Bravo menjadi wira Chile ketika mereka menewaskan Portugal 3-0 menerusi sepakan penalti penentuan pada separuh akhir saingan Piala Konfederasi awal pagi tadi.

    Penjaga gol Manchester City itu menyelamatkan semua tiga penalti daripada pemain Portugal – Ricardo Quaresma, Joao Moutinho dan Nani, manakala Arturo Vidal, Charles Aranguiz dan Alexis Sanchez semuanya menyempurnakan sepakan buat pasukan Amerika Selatan itu.

    “Kami berpuas hati dengan keputusan ini dan bagaimana cara kami bermain, tetapi kami masih belum menang apa-apa,” kata Bravo, 34.

    Chile mara ke final di St Petersburg Ahad ini untuk berdepan sama ada Mexico atau Jerman yang akan bertemu di Sochi awal pagi esok dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

    “Saya sangat bangga dengan pasukan ini. Claudio melakukan banyak cubaan menyelamat untuk membolehkan kami meneruskan permainan,” kata jurulatih Chile, Juan Antonio Pizzi.

    Salah satu aksi ketika perlawanan itu berlangsung. – AFP
    Salah satu aksi ketika perlawanan itu berlangsung. – AFP

    “Dia memiliki kelebihan untuk melihat di mana pemain lawan akan melakukan sepakan. Kini tidak kisah siapa akan berdepan kami, kami hanya perlu pulih untuk ke final.”

    Portugal akan bersaing bagi penentuan tempat ketiga di Moscow Ahad ini.

    Chile hampir menang pada lewat permainan apabila sepakan Vidal dan pemain gantian, Martin Rodriguez terkena palang ketika Portugal cuba bertahan untuk membawa perlawanan ke penentuan penalti.

    Kekalahan di Kazan mengecewakan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

    Bintang Real Madrid itu yang berdepan keraguan mengenai masa depannya di Sepanyol ketika dia bersiap sedia untuk menjawab tuduhan mengelak cukai di mahkamah Madrid bulan depan, menang pemain terbaik dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda