BEIJING, 12 MAC – China akan menjadi tuan rumah kepada Rusia dan Iran untuk rundingan tiga hala mengenai program nuklear Tehran pada Jumaat, kata Kementerian Luar Beijing.
“Ketiga-tiga pihak akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu nuklear Iran dan isu-isu lain yang mempunyai kepentingan bersama,” kata jurucakap Kementerian Luar hari ini.
Mesyuarat itu akan dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar China, Ma Zhaoxu; Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergey Ryabkov; dan Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi.
Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian penting yang telah mengenakan sekatan ke atas program nuklear Iran sebagai balasan pembatalan sekatan semasa penggal pertama Presiden Donald Trump, yang berakhir pada 2021.
Tehran mematuhi perjanjian 2015 selama setahun selepas Washington menarik diri tetapi kemudian mula menarik balik komitmennya.
Bagaimanapun, usaha untuk memulihkan pakatan itu telah menemui kegagalan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei mengesahkan rancangan untuk rundingan akan datang dan berkata mesyuarat itu akan memberi tumpuan kepada perkembangan berkaitan isu nuklear dan penarikan sekatan.
“Rundingan ini juga akan membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan lain tiga buah negara itu,” kata Baqaei.
“Ia termasuk perkembangan serantau dan antarabangsa, serta isu berkaitan kerjasama dalam rangka kerja BRICS dan Organisasi Kerjasama Shanghai”, katanya. – AFP
