Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China akan lancar siasatan penjualan biji sesawi, produk kimia Kanada

    BEIJING, 3 SEPT – China berkata hari ini ia akan melancarkan siasatan anti-lambakan terhadap penjualan biji sesawi dan produk kimia Kanada, sebagai tindakan balas terhadap sekatan baharu Ottawa terhadap import kenderaan elektrik (EV) China.

    Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau bulan lalu mengumumkan tarif 100 peratus ke atas EV China, menuduh Beijing tidak mengikut peraturan yang sama seperti negara lain dalam bidang seperti standard alam sekitar dan pekerja.

    Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah juga masing-masing mengenakan tarif sebanyak 100 peratus dan 36 peratus ke atas EV China, dengan alasan Beijing memberikan subsidi secara tidak adil kepada pengeluar domestik di mana produknya membanjiri pasaran asing dan menjejaskan pesaing tempatan.

    China telah berulang kali mengkritik pelaksanaan cukai dan melancarkan beberapa siri siasatannya sendiri sebagai tindak balas.

    Kementerian Perdagangan China berkata dalam kenyataan dalam talian hari ini ia akan memulakan siasatan anti-lambakan terhadap penjualan ke atas biji sesawi yang diimport dari Kanada, mengikut undang-undang.

    Kementerian itu berkata industri domestik baru-baru ini melaporkan eksport biji sesawi Kanada ke China meningkat dengan ketara di mana ia mencecah AS$3.47 bilion pada 2023 sementara harganya jatuh secara berterusan.

    Ia menambah pengeksport Kanada ‘disyaki melambakkan’ produk ke pasaran China dan industri berkaitan biji sesawi domestik China terus mengalami kerugian di bawah pengaruh persaingan tidak adil oleh pihak Kanada.

    Kenyataan itu juga berkata Beijing tidak berpuas hati dan dengan tegas menentang tarif Kanada serta merancang untuk mengemukakan isu itu dengan mekanisme penyelesaian pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia.

    Menurut kementerian itu, China juga akan melancarkan siasatan serupa terhadap produk kimia Kanada yang berkaitan berdasarkan permohonan oleh industri domestik. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda