China arah AS tutup konsulat di Chengdu

BEIJING, 24 JULAI – Kementerian Luar China hari ini mengarahkan Kedutaan Amerika Syarika (AS) di China untuk menutup pejabat konsulatnya di Chengdu, dalam satu lagi perbalahan antara dua kuasa besar itu.

Kementerian itu turut membuat syarat-syarat khusus mengenai penamatan semua operasi dan acara oleh pejabat konsulat. Langkah itu dibuat setelah AS melancarkan provokasi sepihak pada 21 Julai lalu, menuntut China menutup pejabat konsulatnya di Houston.

“Langkah AS secara serius melanggar undang-undang antarabangsa, norma dasar hubungan antarabangsa dan syarat-syarat Konvensyen Konsulat China-AS. Ia mengeruhkan lagi hubungan China-AS,” kata kementerian dalam satu kenyataan dipetik Xinhua.

“Langkah diambil China adalah tindak balas yang sah dan perlu terhadap tindakan tidak adil AS. Ia sesuai dengan undang-undang antarabangsa, norma asas hubungan antarabangsa dan amalan diplomatik,” tambah kenyataan itu.

“Situasi semasa dalam hubungan China-AS tidak seperti yang ingin dilihat oleh China, dan AS bertanggungjawab atas semua ini. Kami sekali lagi mendesak AS agar segera menarik balik keputusannya yang salah dan mewujudkan syarat diperlukan untuk mengembalikan hubungan dua hala ke landasan yang betul,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, AS memberikan alasan pencurian harta intelek atas arahan penutupan di Houston, susulan pendakwaan dua warga China menggodam ratusan syarikat dan cuba mencuri penyelidikan vaksin COVID-19. – Bernama/AFP

Anggota polis mengawasi pintu masuk konsulat AS di Chengdu, di wilayah Sichuan, China, 24 Julai. China mengarahkan penutupan konsulat itu sebagai balasan provokasi menutup konsulat di Houston baru-baru ini, menambah ketegangan diplomasi antara dua negara besar itu. – AFP