BEIJING, 17 JUN – Kedutaan China di Israel hari ini menggesa semua rakyatnya untuk meninggalkan negara itu ‘secepat mungkin’ susulan pertukaran serangan berat antara Israel dan Iran.
“Misi China di Israel mengingatkan semua warganegara China supaya meninggalkan negara ini secepat mungkin melalui pintu sempadan darat, dengan syarat mereka dapat menjamin keselamatan diri masing-masing,” menurut kenyataan kedutaan itu di platform WeChat.
“Adalah disarankan untuk keluar menuju ke arah Jordan,” tambah kenyataan tersebut.
Israel baru-baru ini melancarkan kempen udara mengejut ke atas beberapa sasaran di Iran dalam usaha menghalang negara itu daripada memperoleh senjata nuklear — satu dakwaan yang dinafikan oleh Tehran. Serangan itu menandakan kemuncak kepada permusuhan puluhan tahun dan perang bayangan antara kedua-dua negara.
Pergolakan mendadak itu mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik lebih luas, dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyeru Iran kembali ke meja rundingan selepas serangan Israel menjejaskan rundingan nuklear yang sedang berlangsung.
Kedutaan China hari ini menyatakan bahawa konflik itu ‘terus memuncak’.
“Banyak infrastruktur awam telah rosak, korban awam semakin meningkat dan keadaan keselamatan semakin membimbangkan,” jelas kenyataan itu lagi. – AFP
