STOCKHOLM, 29 JULAI – Pegawai dari China dan Amerika Syarikat (AS) telah menamatkan hari pertama rundingan baharu di Stockholm kelmarin, ketika dua ekonomi terbesar dunia itu berusaha melanjutkan penangguhan perdagangan susulan perang tarif global yang dilancarkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Rundingan tersebut telah berlangsung sehari selepas Trump mencapai perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU) yang akan menyaksikan eksport blok tersebut ke AS dikenakan cukai sebanyak 15 peratus.
Rundingan di Sweden itu telah tamat sebelum jam 8 malam, namun kedua-dua pihak tidak mengumumkan sebarang butiran mengenai keputusan yang dicapai.
Jurucakap Jabatan Perbendaharaan AS berkata rundingan itu dijangka akan disambung hari ini.
Menjelang mesyuarat di Stockholm, Beijing menyatakan negara itu mahu melihat tarif ‘timbal balik’ dalam perdagangan dengan AS.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata Beijing mengutamakan ‘kesepakatan melalui dialog’ untuk ‘mengurangkan salah faham, mengukuhkan kerjasama dan mempromosi perkembangan hubungan China-AS yang stabil, sihat dan mampan.’
Manakala kumpulan perunding di Stockholm yang diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dan Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng telah mengadakan mesyuarat di bangunan Rosenbad, ibu pejabat kerajaan Sweden.
Walaupun rundingan dengan China belum lagi menghasilkan perjanjian rasmi, namun menurut Benson, kedua-dua negara telah menunjukkan kemajuan, dengan beberapa penghantaran nadir bumi dan semikonduktor kembali pulih. – AFP


