Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, AS setuju batalkan tarif

    BEIJING, 7 NOV – China dan Amerika Syarikat (AS) telah bersetuju dengan satu rancangan untuk membatalkan tarif yang dikenakan ke atas barangan dua hala secara berperingkat, kata kementerian perdagangan hari ini, tatkala perunding berusaha mencapai satu perjanjian perdagangan.

    Kedua-dua pihak telah dibelenggu perang perniagaan lebih setahun lamanya, dan telah mengenakan tarif ke atas perniagaan dua hala bernilai beratus bilion dolar.

    Namun timbulnya harapan mereka dapat mencapai satu perjanjian kecil sebagai sebahagian daripada perjanjian yang lebih luas.

    “Dalam tempoh dua minggu lalu, pemimpin rundingan kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan serius untuk menyelesai isu utama dan bersetuju untuk membatalkan tarif tambahan secara berperingkat, tatkala kemajuan dicatat ke arah pencapaian perjanjian muktamad,” kata jurucakap kementerian Gao Feng pada sidang akhbar.

    Jika disahkan oleh AS, komen tersebut mungkin merupakan petanda positif terbaharu dalam usaha oleh perunding untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan separa, walaupun butir-butir masih tidak jelas.

    Gao berkata jika kedua-dua pihak mencapai perjanjian fasa pertama, tarif harus dibatalkan dalam ‘jumlah yang sama dan serentak.’

    “Ia merupakan syarat penting untuk mencapai perjanjian,” kata beliau.

    Presiden AS Donald Trump merancang menandatangani perjanjian dengan Xi Jinping mengenai isu sampingan sidang kemuncak yang dibatalkan di Chile pada bulan ini. Beliau memberitahu wartawan pada Jumaat bahawa beliau sedang ‘menimbang beberapa lokasi lain.’ – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda