BEIJING, 7 MEI – Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng, sebagai ketua perwakilan pihak China dalam hal ehwal ekonomi dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dalam rangka lawatannya ke Switzerland dari 9 hingga 12 Mei ini.
Demikian menurut jurucakap Kementerian Perdagangan China pada hari ini, susulan pengumuman terbabit yang dikeluarkan Kementerian Luar.
“Baru-baru ini, pucuk pimpinan AS bertalu-talu memberi isyarat tentang pihaknya mahu mengubahsuai langkah tarif serta menyampaikan mesej kepada China melalui pelbagai saluran dengan harapan untuk mengadakan perbincangan dengan China mengenai isu-isu yang meliputi tarif.
“Setelah mengadakan penilaian dengan teliti terhadap mesej daripada pihak AS, membuat pertimbangan penuh terhadap harapan masyarakat antarabangsa dan kepentingan China, serta suara dari sektor korporat dan kalangan pengguna AS, China setuju dan memutuskan untuk memulakan komunikasi dengan pihak AS,” kata jurucakap itu.
Tambahnya, “Pihak China akan melawan pihak yang menentang secara habis-habisan dan akan bersikap terbuka kepada sebarang kemungkinan untuk berunding.
“Sebarang dialog dan rundingan, mesti dijalankan atas prasyarat saling menghormati dan sama menang,” tambahnya. – Bernama
