STOCKHOLM, 30 JULAI – Amerika Syarikat (AS) dan China berusaha melanjutkan penangguhan tarif yang telah menyaksikan mereka mengurangkan tarif timbal balik antara kedua belah pihak, daripada paras yang membebankan, susulan pusingan terbaharu rundingan dua hari itu, bagi mencapai perjanjian perdagangan menjelang tarikh akhir 12 Ogos.
Wakil perdagangan antarabangsa China, Li Chenggan berkata rundingan di Stockholm berlangsung secara “terus terang, mendalam dan konstruktif,” menurut agensi berita rasmi Xinhua.
Presiden AS, Donald Trump mencetuskan semula pertikaian perdagangan selepas kembali memegang jawatan awal tahun ini, membawa kepada tarif tinggi dikenakan ke paras tiga angka yang menjejaskan perniagaan dan rantaian bekalan global.
Menurut Li, kedua-dua negara telah bertukar pandangan mengenai isu-isu utama perdagangan dan ekonomi, dan akan terus mengekalkan komunikasi yang rapat.
Delegasi AS yang diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung rundingan tersebut.
Rundingan itu diadakan selepas AS dan EU mencapai perjanjian perdagangan hujung minggu lalu yang menetapkan tarif AS sebanyak 15 peratus ke atas kebanyakan import dari EU, namun tiada tarif dikenakan ke atas barangan AS yang dieksport ke EU. – AFP


