CHANGZHI, 12 OGOS – China dan ASEAN digesa untuk memanfaatkan kuasa revolusi teknologi dan perindustrian terkini bagi mempercepatkan pembangunan yang diselaraskan di rantau itu.
Menteri Luar China, Wang Yi menyeru China dan 10 anggota blok ASEAN untuk bekerjasama dalam membangunkan dan memperkukuh keupayaan produktif baharu di seluruh rantau berkenaan.
Beliau menekankan potensi besar dalam hubungan China-ASEAN sambil menyifatkan kedua-dua pihak sebagai jiran yang akrab dengan pasaran yang berkembang pesat.
“Usaha ini akan menyuntik momentum baharu ke dalam pembangunan dan peremajaan setiap negara, menyokong kestabilan dan kemakmuran serantau serta menyumbang kepada pembentukan komuniti China-ASEAN yang lebih erat,” katanya pada majlis perasmian Minggu ASEAN-China (ACW) 2024 bertema Achieving Prosperity through Innovation, di Changzhi, wilayah Shanxi, hari ini.
Teks ucapan Wang dibacakan oleh Setiausaha Agung Pusat ASEAN-China (ACC), Shi Zhongjun.
Wang berkata sejak pengumuman penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN oleh Presiden China, Xi Jinping dan pemimpin ASEAN pada 2021, kemajuan ketara telah dicapai dalam membina komuniti China-ASEAN dengan masa depan yang dikongsi bersama.
Menurut beliau, perkongsian itu telah mengeratkan hubungan dua bilion penduduk di rantau itu dengan memupuk rasa hormat dan persefahaman antara satu sama lain. – Bernama