Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bakal lancar misi baharu ke angkasa

    BEIJING, 22 APRIL -China dijangka melancarkan misi baharu ke angkasa minggu ini, selaras dengan langkah berterusan Beijing menuju matlamat menghantar angkasawan ke Bulan.

    Misi Shenzhou-20 akan berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa buatan sendiri negara itu, Tiangong, untuk tempoh penempatan kira-kira enam bulan.

    Pasukan ini akan menjalankan pelbagai eksperimen demi menyokong cita-cita besar program angkasa China untuk menghantar manusia ke Bulan menjelang tahun 2030 dan seterusnya membina pangkalan di sana.

    Agensi Angkasa China minggu lalu berkata kapal angkasa Shenzhou dan roket pengangkutnya, Long March-2F, telah dipindahkan ke tapak pelancaran di kawasan gurun terpencil itu dan akan dilancarkan “pada masa yang sesuai dalam masa terdekat”.

    Gambar-gambar yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi Xinhua menunjukkan roket putih berkilat itu berada di atas pelantar biru yang dihiasi dengan bendera kebangsaan, menghala ke langit, dikelilingi sepanduk merah dan emas yang memuji program angkasa negara itu.

    Gambar fail sebuah roket pengangkut Long March-2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, di Gurun Gobi, China, pada 30 Oktober 2024. – AFP

    “Pada masa ini, kemudahan dan peralatan di tapak pelancaran berada dalam keadaan baik. Pemeriksaan fungsi dan ujian bersama akan dijalankan mengikut perancangan,” kata Agensi Angkasa Berawak China (CMSA).

    Pihak berkuasa belum mendedahkan identiti angkasawan Shenzhou-20 atau tugasan khusus yang akan mereka laksanakan.

    Menurut penyiar rasmi CCTV pada Ahad, Zhou Wenxing, seorang kakitangan di pusat latihan angkasawan negara itu, berkata kru berada dalam “keadaan baik, tepat dalam operasi, dan lancar dalam koordinasi.”

    Misi terdahulu, Shenzhou-19, telah dilancarkan pada Oktober lalu dan dijangka tamat pada 29 April ini.

    Misi itu diketuai oleh Cai Xuzhe, 48, bekas juruterbang tentera udara yang pernah menyertai misi Shenzhou-14 ke stesen angkasa Tiangong pada 2022.

    Turut serta dalam kru ialah Wang Haoze, 35, satu-satunya jurutera wanita penerbangan angkasa China dan wanita ketiga yang menyertai misi negara itu. –AFP

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda