Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bakal latih angkasawan asing

    BEIJING, 1 MAC – China berkata ia akan melatih angkasawan asing untuk perjalanan ke stesen angkasa lepas orbit yang siap baru-baru ini.

    Sumber kebanggaan negara dan simbol kemajuan teknologi, program angkasa lepas China telah memainkan peranan diplomatik dan politik baharu, sama seperti di Amerika Syarikat dan bekas Kesatuan Soviet.

    Beberapa negara asing telah meminta untuk menyertai perjalanan ke stesen Tiangong, kata pegawai program, Chen Shanguang dalam temu bual dengan penyiar CCTV yang disiarkan pada Sabtu.

    “Tidak lama lagi kami akan mula memilih calon dari negara berkenaan untuk mengadakan penerbangan bersama ke stesen angkasa kami, dan mereka boleh bekerjasama dengan angkasawan kami untuk menjalankan tugas saintifik di angkasa,” kata Penolong Ketua Perancang Program Angkasa China, Chen, dalam temu bual yang disiarkan semula pada Isnin oleh akhbar China Daily.

    Calon-calon akan menjalani proses pemilihan awal sebelum dibawa ke China untuk latihan intensif mengenai cara-cara mengendalikan kapal angkasa Shenzhou dan tinggal serta bekerja di stesen, kata Chen.

    “Kami juga berharap calon asing berkenaan boleh mempelajari tentang budaya China kerana mereka akan menetap di stesen angkasa China,” katanya.

    Chen tidak memberitahu sama ada kemahiran dalam bahasa Cina diperlukan, walaupun pakar yang ditemu bual oleh China Daily berkata mereka menjangka bahasa ibunda Cina akan menjadi bahasa pertuturan di stesen berkenaan. – AP

    Gambar serahan agensi berita Xinhua menunjukkan angkasawan Cina, Fei Junlong menjalankan aktiviti di stesen angkasa Tiangong pada 9 Februari 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda