BEIJING, 6 NOV – Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, memberi amaran bahawa China ‘akan menang’ dalam perlumbaan membangunkan kecerdasan buatan (AI) generasi seterusnya, sambil menggesa Washington mempercepatkan usahanya.
Ketua gergasi cip Amerika Syarikat itu memberitahu Financial Times bahawa subsidi tenaga Beijing mengukuhkan usahanya membina semikonduktor berteknologi tinggi yang digunakan untuk menggerakkan teknologi AI.
Akhbar Britain itu memetik beliau sebagai berkata pada Rabu, di sebuah acara di London: “China akan memenangi perlumbaan AI.”
Dalam satu kenyataan dimuat naik di X oleh Nvidia, beliau menambah, “Seperti yang saya katakan sejak sekian lama, China hanya beberapa nanosaat di belakang Amerika dalam AI. Adalah penting Amerika menang dengan memecut ke hadapan dan menambat para pembangun di seluruh dunia.”
Nvidia yang berpangkalan di California minggu lalu menjadi syarikat pertama di dunia bernilai AS$5 trilion, walaupun nilai pasaran itu kini susut kepada sekitar AS$4.7 trilion.
Cip Nvidia berprestasi tinggi, digunakan untuk melatih dan menggerakkan sistem AI generatif, ketika ini tidak dijual di China disebabkan kebimbangan keselamatan negara oleh AS dan larangan kerajaan China.
Awal minggu ini, White House berkata mereka masih tidak berminat membenarkan Nvidia menjual model cip Blackwell termaju di China. Amerika Syarikat memberi alasan risiko memberi kelebihan ketenteraan kepada China sebagai sebab sekatan tersebut.
Huang berulang kali merayu Washington agar melonggarkan sekatan eksport cip Nvidia, sambil menegaskan dasar itu hanya akan membantu China memajukan teknologinya sendiri.
Usahawan yang sinonim dengan jaket kulit itu turut mengkritik peraturan baharu berkaitan AI yang diperkenalkan negeri-negeri di AS kepada Financial Times kelmarin, berbeza dengan
China yang mensubsidi penggunaan elektrik untuk menggerakkan teknologi tersebut.
Beliau berkata negara-negara Barat termasuk AS dan Britain disekat oleh “sikap sinis” terhadap AI.
Pakar pula berpendapat pembuat cip China akan berdepan kesukaran menandingi kehebatan teknologi Nvidia sebelum akhir dekad ini.
Cabaran itu termasuk membangunkan perisian yang sesuai untuk memanfaatkan kuasa cip, serta menaik taraf peralatan pembuatan mereka. – AFP


