Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bangunkan ‘bandar span’ atasi banjir, kemarau

    BEIJING – Untuk melindungi kesan cuaca ekstrem berpunca daripada perubahan iklim, seorang arkitek landskap China telah mengemukakan kes meminta China dan negara lain untuk mewujudkan ‘bandar span’.

    Yu Kongjian, semasa bercakap kepada The Associated Press di Beijing, menggunakan bahasa umum untuk mengongsikan wawasannya untuk bandar yang mampu bertahan suhu yang berubah-ubah, kemarau dan hujan lebat. Cabaran untuk melaksanakan wawasan ini pada masa pembangunan ekonomi pesat di China adalah amat banyak.

    Yu mengkritik kebanyakan infrastruktur moden di Asia yang dibina berdasarkan idea yang diimport dari Eropah, yang dikatakannya tidak sesuai dengan iklim monsun di sebahagian besar benua Asia. Dia merujuk kepada banjir baru-baru ini yang telah mengakibatkan kemusnahan di kebanyakan bandar Asia, yang menurutnya berpunca daripada ketidaksesuaian infrastruktur berkenaan.

    “Tidak adanya daya tahan,” kata Yu tentang infrastruktur konkrit dan besi di bandar besar, dan penggunaan paip dan saluran untuk menyalurkan air. “Ia tidak berguna, akan menemui gagal dan terus gagal.”

    Sebaliknya, Yu menyarankan penggunaan sumber semula jadi, atau ‘infrastruktur hijau’ untuk mewujudkan bandar yang mampu tahan air. Ia adalah sebahagian daripada peralihan global dalam kalangan profesional reka bentuk landskap dan kejuruteraan awam ke arah usaha lebih bersepadu dengan alam semula jadi. Dengan mewujudkan ruang besar untuk menampung air di pusat bandar – seperti taman dan kolam – air hujan boleh dikekalkan di tapak, membantu mengelak banjir, katanya. Infrastruktur span juga, pada teori, menawarkan kaedah yang membenarkan air meresapi di bawah tanah ketika berlalunya kemarau.

    Laluan pejalan kaki dibina menerusi kolam dan pulau kecil di taman span ‘Ekor Ikan’ di wilayah Jiangxi, China. – AP
    Penduduk memegang kipas dengan corak bunga ketika menari di taman span ‘Ekor Ikan’ di wilayah Jiangxi, China. – AP
    Arkitek Yu Kongjian bercakap semasa temu bual di pejabatnya di Beijing. – AP
    Duan Yunzhen menggunakan rumpun rumput untuk mengawal tumpahan air dari baldi ketika dia mengambil air dari sebuah kolam untuk menyiram tanamannya semasa musim kemarau di wilayah Jiangxi, China. – AP
    Seorang budak memegang beg plastik me-ngandungi anak itik ketika dia berjalan di kolam di taman span ‘Ekor Ikan’ di wilayah Jiangxi, China. – AP

    “Idea bandar span adalah untuk memulihkan dan memberikan air lebih banyak ruang,” kata Yu.

    Menurut Yu, titik perubahan dalam kempen kesedaran perubahan iklim dan pengadaptasian bandar di China berlaku satu dekad lalu apabila banjir yang teruk melanda ibu negara Beijing pada Julai 2012.

    Hujan lebat terbesar di Beijing dalam 61 tahun itu menyumbat sistem saluran, membanjiri jalan bawah pusat bandar dan mencetuskan banjir kilat di pinggir bandar. Sekurang-kurangnya 77 orang maut.

    Yu pada masa itu menghantar sepucuk surat kepada setiausaha parti Beijing, Guo Jinlong, menggesa perubahan dalam cara kerajaan mengendalikan infrastruktur bandar. Dia terus menghantar surat kepada pegawai kanan, termasuk pemimpin China Xi Jinping.

    Pada sidang kerja kerajaan pada tahun depan, China menggabungkan idea bandar span sebagai satu strategi negara, ‘membangunkan idea penyerapan, penyimpanan dan pelepasan air hujan secara perlahan oleh sistem ekologi.’

    Pada 2014, kerajaan pusat mengeluarkan arahan: Kitar semula 70 peratus daripada air hujan di 20 peratus kawasan bandar menjelang 2020, dan di 80 peratus daripada kawasan berkenaan pada 2030.

    Pada tahun berikutnya, ia melancarkan 16 projek perintis bandar span, menambah 14 lagi pada 2016. Pegawai juga berkata mereka akan menganugerahkan 600 juta yuan setiap tahun selama tiga tahun kepada bandar, 500 juta kepada ibu negeri wilayah dan 400 juta yuan kepada bandar lain.

    Mandat dan subsidi mencetuskan peningkatan dalam infrastruktur penyerapan air, termasuk di bandar besar termasuk Beijing, Shanghai dan Shenzhen.

    Bandar-bandar di seluruh dunia juga berusaha menyepadukan ‘saliran tumbuh-tumbuhan’ di sepanjang jalan raya, melindungi kawasan paya untuk menyerap air, dan menambah penangkapan air hujan di bumbung.

    Pada pertengahan Oktober, jurutera memberikan sentuhan akhir kepada taman span ‘Ekor Ikan’ yang indah dengan keluasan 126 ekar, bertujuan untuk melindungi kesan banjir dan kemarau.

    Sebelumnya tapak buangan abu arang batu, taman span itu dibina di kawasan rendah bertujuan mengawal air untuk kawasan sekeliling dan daerah perniagaan. Abu terbang, produk sampingan pembakaran arang, dicampurkan dengan tanah untuk mewujudkan pulau mini di tasik yang membenarkan air meresap melaluinya. Fang berkata campuran itu, disokong oleh akar tumbuhan, menghalang abu daripada mengalir ke dalam air.

    Semasa cuaca kering, air boleh dikeluarkan, ditapis dan digunakan untuk pengairan.

    Fang Yuan, jurutera di institut reka bentuk Yu, Turenscape, berkata taman itu berfungsi sebagai ‘akuarium ekologi,’ mampu mengekalkan satu juta meter padu air semasa banjir dan bermakna air boleh digunakan, dan bukannya menyalurkannya dalam sistem kumbahan.

    Taman itu juga berfungsi sebagai habitat untuk tumbuhan dan hidupan liar yang terjejas akibat cuaca melampau seperti kemarau.

    Kadangkala, konsep bandar span sukar dilaksanakan di China. Peruntukan dana yang salah, kekurangan kepakaran dalam perancangan bandar span, dan masalah lain telah menggagalkan beberapa projek.

    Pada April, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar mengumumkan beberapa bandar ‘tidak mempunyai kesedaran yang cukup, pemahaman tidak tepat dan pelaksanaan pembinaan bandar span yang tidak sistematik.’

    Notis itu juga mengingatkan supaya jangan menggunakan wang yang diperuntukkan untuk pembinaan bandar span untuk projek infrastruktur lain, seperti bangunan dan jalan raya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda