Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bangunkan pusat data bawah laut ‘jimatkan tenaga’ pengkomputeran

    NANTONG – Pusat data yang menggunakan tenaga tinggi menjadi panas, jadi sebuah syarikat China merancang untuk menenggelamkan kapsul ke dasar laut berhampiran Shanghai dalam usaha mencari penyelesaian kepada krisis tenaga dalam sektor pengkomputeran.

    Di sebuah pelantar berhampiran bandar tersebut, pekerja sedang menyiapkan kapsul kuning gergasi, satu percubaan terhadap infrastruktur teknologi alternatif yang mencetuskan perdebatan mengenai kesannya terhadap ekologi dan daya maju komersial.

    Laman web dan aplikasi di seluruh dunia bergantung pada pusat data fizikal untuk menyimpan maklumat. Permintaan semakin melonjak akibat penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat.

    “Operasi bawah laut mempunyai kelebihan semula jadi,” kata Yang Ye daripada firma peralatan maritim Highlander, yang memba-ngunkan kapsul Shanghai itu bersama syarikat pembinaan milik kerajaan.

    Pelayan dasar laut boleh disejukkan oleh arus laut secara semula jadi, sekali gus mengurangkan keperluan sistem penyejukan udara atau penyejatan air yang menggunakan tenaga tinggi di pusat data darat.

    Sebuah pusat data bawah laut yang sedang dibangunkan oleh syarikat teknologi maritim China, Highlander, di Nantong, wilayah Jiangsu, timur China. – AFP
    Proses penenggelaman kapsul ke dasar laut berhampiran Shanghai sebagai usaha mencari penyelesaian kepada masalah penggunaan tenaga dalam pengkomputeran. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Teknologi ini pernah diuji oleh Microsoft di perairan Scotland pada 2018, namun projek China yang dijangka ditenggelamkan pertengahan Oktober ini antara perkhidmatan komersial pertama seumpamanya di dunia.

    Ia akan digunakan oleh pelanggan termasuk China Telecom dan sebuah syarikat AI milik negara, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan jejak karbon pusat data.

    “Kemudahan di bawah permukaan air dapat menjimatkan sekitar 90 peratus penggunaan tenaga untuk penyejukan,” kata Yang, Naib Presiden Highlander kepada AFP.

    Menurut pakar Shaolei Ren dari University of California, Riverside, projek seumpama ini buat masa sekarang lebih tertumpu kepada ‘kebolehgunaan teknologi’.

    Microsoft tidak meneruskan projek komersial selepas ujian mereka, walaupun mendakwa percubaan itu berjaya apabila kapsul dinaikkan semula pada 2020.

    Namun, cabaran pembinaan besar dan kebimbangan alam sekitar perlu ditangani sebelum pusat data bawah laut boleh digunakan secara meluas, kata Ren.

    Di China, subsidi kerajaan membantu mempercepatkan pembangunan, di mana Highlander menerima 40 juta yuan bagi projek serupa di Hainan pada 2022 yang masih beroperasi.

    CABARAN TEKNIKAL

    “Pembinaan sebenar pusat data bawah laut lebih mencabar daripada jangkaan awal,” kata Zhou Jun, jurutera projek Shanghai Highlander.

    Dibina di darat dalam beberapa komponen sebelum dipasang di laut, kemudahan ini akan menggunakan hampir keseluruhan tenaganya daripada ladang angin luar pesisir.

    Highlander menyatakan lebih 95 peratus tenaga yang digunakan akan datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.

    Cabaran paling besar adalah memastikan struktur tersebut kalis air dan tahan kakisan akibat air masin. Projek China ini menggunakan lapisan pelindung khas yang mengandungi serpihan kaca pada keluli kapsul pelayan.

    Untuk penyelenggaraan, lif akan menghubungkan struktur utama pod ke bahagian atas yang kekal di permukaan air.

    Menurut Ren, sambungan internet antara pusat data luar pesisir dan daratan lebih rumit berbanding sambungan pelayan darat biasa.

    Penyelidik di Universiti Florida dan University of Electro-Communications di Jepun turut mendapati pusat data dasar laut boleh terdedah kepada serangan menggunakan gelombang bunyi yang bergerak melalui air.

    IMPLIKASI EKOLOGI

    Selain aspek teknikal, kesan pemanasan daripada pusat data bawah laut terhadap ekosistem marin turut menimbul tanda-tanya.

    Andrew Want, pakar ekologi marin dari University of Hull, berkata haba yang dikeluarkan boleh menarik sesetengah spesies hidupan laut, tetapi juga boleh menyebabkan spesies lain menjauhi kawasan tersebut.

    “Banyak perkara masih belum diketahui, kajian menyeluruh masih kurang,” katanya.

    Highlander memberitahu AFP penilaian bebas terhadap projek ujian berhampiran Zhuhai pada 2020 menunjukkan suhu air sekitar masih berada jauh di bawah paras had yang dibenarkan.

    Namun, Ren memberi amaran bahawa apabila skala pusat data ditingkatkan, jumlah haba yang dilepaskan juga akan meningkat.

    “Bagi pusat data bawah laut berskala megawatt, masalah pencemaran haba perlu dikaji dengan lebih teliti,” tegasnya.

    Ren turut mencadangkan kemudahan luar pesisir ini berperanan sebagai pelengkap kepada pusat data tradisional.

    “Ia mungkin tidak menggantikan sepenuhnya pusat data sedia ada, tetapi boleh memenuhi keperluan beberapa segmen pasaran tertentu,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda