BEIJING, 16 OKT – Beijing semalam menyatakan bahawa pihaknya ‘membantah keras’ tindakan kerajaan Belanda mengambil alih syarikat pembuat cip milik China, Nexperia, dengan alasan langkah itu melanggar semangat perjanjian kontrak dan prinsip pasaran.
Pihak berkuasa Belanda menggunakan undang-undang era Perang Dingin pada akhir September lalu untuk mengambil kawalan ke atas syarikat yang berpangkalan di Belanda itu atas alasan keselamatan negara.
Langkah tersebut membolehkan syarikat berkenaan, iaitu anak syarikat kepada firma semikonduktor China, Wingtech, yang berpangkalan di bandar Nijmegen, Belanda, meneruskan pengeluaran seperti biasa, namun semua keputusannya boleh disekat atau dibatalkan oleh kerajaan Belanda.
Kerajaan Belanda menjelaskan bahawa tindakan itu dibuat berikutan petanda terkini dan mendesak mengenai kelemahan tadbir urus yang serius serta tindakan dalam Nexperia.
Jurucakap Kementerian Perdagangan China hari ini berkata bahawa China ‘membantah keras percubaan pihak Belanda memperluas tafsiran keselamatan negara dan secara langsung mencampuri urusan dalaman sesebuah perusahaan.’
Keputusan itu, katanya, “bukan sahaja melanggar semangat perjanjian kontrak dan prinsip pasaran, malah akan menjejaskan persekitaran perniagaan Belanda dengan serius, sekali gus merugikan kedua-dua pihak.” – AFP


