BEIJING, 12 JAN – China akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam rantaian industri vaksin COVID-19 serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat-ubatan, bagi membantu Indonesia membina pusat pengeluaran vaksin serantau.
Presiden China, Xi Jinping berkata demikian kelmarin menerusi perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo.
Sementara itu, beliau turut menyarankan agar kedua-dua negara merealisasikan pembangunan bersama, di samping menjadi teladan dalam kerjasama pragmatik.
Usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) perlu diintegrasikan dengan pembentukan paradigma pembangunan baharu China serta pelan pembangunan jangka panjang dan sederhana Indonesia, bagi memacu kerjasama pasca pandemik, katanya.
“Kerjasama antara dua pihak juga perlu dipergiat untuk membina landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung yang berkualiti tinggi, di samping menjayakan program utama seperti Koridor Ekonomi Komprehensif Serantau dan “Dua Negara, Dua Taman”.
Beliau berkata, China dan Indonesia masing-masing menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi BRICS dan Kumpulan 20 (G20) pada tahun ini.
China sedia bekerjasama dengan Indonesia dalam mengamalkan multilateralisme sebenar, melaksanakan inisiatif pembangunan global serta memelihara kepentingan negara pasaran baharu dan negara membangun.
Sementara itu, Joko Widodo berkata, Indonesia dan China telah menyaksikan peningkatan perdaga-ngan dan pelaburan dua hala yang pesat pada tahun lepas.
Kerjasama dalam bidang perubatan turut membuahkan hasil yang memberangsangkan terutama dalam pengeluaran vaksin COVID-19 dan R&D ubat-ubatan. Kini, sebanyak 80 peratus vaksin Indonesia berasal dari China. Indonesia bersedia memperkasa kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan dan usaha melawan pandemik. – Bernama