Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    China batalkan kuarantin COVID

    BEIJING, 27 DIS – Rakyat di China hari ini gembira dan bergegas merancang melancong ke luar negara selepas Beijing mengatakan ia akan membatalkan kuarantin mandatori COVID bagi ketibaan luar negara, menamatkan pengasingan diri hampir tiga tahun yang dilaksanakannya.

    Dalam satu langkah mendadak lewat kelmarin, China mengatakan bermula 8 Januari, pengunjung memasuki negara itu tidak lagi perlu menjalani kuarantin, ketika ia mengambil langkah-langkah lanjut melonggarkan langkah pengawalan virus yang menjunamkan ekonominya dan mencetuskan bantahan di seluruh negara. Jangkitan bagaimanapun terus meningkat di negara itu ketika dasar pengekangan dilonggarkan, dengan pihak berkuasa mengakui bahawa wabak itu ‘sukar’ dikesan dan mengabaikan pengiraan jumlah kes.

    Beijing turut mengubah kriteria pengiraan jumlah kematian COVID minggu lalu, satu langkah yang menurut pakar akan mengurangkan jumlah kematian akibat virus tersebut.

    Rakyat China menyambut dengan gembira penamatan sekatan yang mengasingkan negara itu daripada dunia sejak Mac 2020. “Saya rasa epidemik akhirnya tamat…perancangan perjalanan yang dibuat tiga tahun lalu kini boleh menjadi kenyataan,” kata seorang pekerja pejabat di Beijing, Fan Chengcheng, 27.

    Manakala seorang penduduk Shanghai, Chen mengatakan perubahan dasar itu seperti seseorang menekan butang menamatkan satu tayangan filem, menambah China akhirnya kembali kepada normal.

    “Ia menunjukkan ramai yang masih prihatin tentang perdagangan global dan impaknya ke atas ekonomi China,” tambahnya.

    Pengumuman China itu turut membatalkan satu rejim sifar COVID yang menyaksikan saringan besar-besaran, perintah berkurung ketat dan kuarantin panjang yang menjejaskan jaringan bekalan dan perniagaan di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

    “Ia sesuatu yang melegakan,” kata Tom Simpson, pengarah urusan bagi China di Majlis Perniagaan China-Britain.

    Pengumuman itu juga disambut baik oleh negara-negara Eropah, mengatakan ia akan membawa kepada berakhirnya gangguan rantaian signifikan. – AFP

    Seorang peniaga memakai pelitup muka sambil menunggu pelanggan di sebuah kedai di Beijing. Rakyat, syarikat dan negara-negara luar menyambut baik pengumuman Beijing melonggarkan sekatan COVID. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda