BEIJING, 10 SEPT – Pusat Meteorologi Kebangsaan China pagi ini memperbaharui amaran kuning bagi kedatangan ribut ketika hujan lebat dijangka melanda beberapa bahagian negara itu.
Dari jam 8 pagi ini hingga 8 pagi esok, hujan lebat diramalkan melanda bahagian Guangdong, Hong Kong, Macao, Guangxi, Hainan, Taiwan dan Sichuan, menurut pusat meteorologi itu.
Sesetengah kawasan di rantau yang dinyatakan itu mungkin mengalami hujan lebat, dengan kerpasan maksimum setiap jam melebihi 80 milimeter, disertai dengan cuaca perolakan yang kuat, termasuk ribut petir dan angin ribut.
Pusat itu menasihatkan kerajaan tempatan bersiap sedia menghadapi hujan ribut dan meminta pihak berkuasa pengurusan trafik melaksanakan langkah kawalan trafik yang sesuai di bahagian jalan yang dilanda hujan lebat.
Ia telah mengesyorkan pemotongan bekalan kuasa luar yang berisiko, penggantungan sementara operasi luar di kawasan terbuka dan penempatan semula orang dari kawasan terdedah ke lokasi yang lebih selamat.
Pusat itu juga menggesa pemeriksaan dijalankan ke atas sistem saliran bandar, tanah ladang dan kolam ikan, di samping pelaksanaan langkah-langkah yang perlu untuk meningkatkan saliran seperti yang diperlukan.
China mempunyai sistem amaran cuaca berkod warna empat peringkat, dengan merah mewakili amaran paling teruk, diikuti dengan jingga, kuning dan biru. – Xinhua
