MANILA, Filipina, 30 Mac – Filipina hari ini berkata bahawa China mahu meninjau lautan yang memiliki sumber banyak di perairan pantai timur laut negara, tetapi Manila akan hanya bersetuju jika seorang ahli sains Filipina dibenarkan untuk memerhati.
Pemangku setiausaha Luar Enrique Manalo memberitahu ABS-CBN News Channel bahawa beberapa permintaan China untuk meninjau Benham Rise telah ditolak kerana China menolak syarat itu, beberapa permintaan masih belum selesai.
Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana berkata kapal-kapal peninjau China dilihat berulang-alik di kawasan Benham Rise dari Julai hingga Disember tahun lalu.
Tidak jelas apa yang dilakukan oleh kapal-kapal itu. Para pegawai China berkata kapal-kapal mereka berhak ke atas laluan bebas di kawasan itu.
Benham Rise terletak di bahagian bertentangan Filipina yang mana di situ negara-negara itu terlibat dalam pertikaian tentang hak pemilikan ke atas kepulauan dan beting di Laut China Selatan.
Suruhanjaya PBB berhubung Batas Pentas Benua(UNCLOS) mengesahkan dalam tahun 2012 bahawa Benham Rise adalah sebahagian pentas benua luas Filipina, yang mana ia mempunyai kuasa ke atasnya untuk menerokai dan mengeksploitasi minyak, gas dan sumber galian lain, termasuklah spesis menetap.
Manalo berkata selepas kehadiran kapal-kapal China di Benham Rise dilaporkan, Jabatan Hal Ehwal Luar telah menghantar makluman diplomatik kepada China untuk bertanya apa yang telah mereka lakukan di sana.
“China menjawab, nombor satu, mereka sepenuhnya menghormati dan memperakui hak kuasa Filipina ke atas Benham Rise dan kedua ia bukan kawasan yang dipertikaikan,” katanya, dengan menambah kata mereka berpuas hati dengan penjelasan itu.
“Ini disahkan dua atau tiga kali dengan itu implikasi ialah mereka akan mengikut peraturan yang dibentangkan oleh UNCLOS dan begitulah kami akan berurusan berhubung isu ini,” katanya dengan merujuk kepada Konvensyen PBB berhubung Undang-Undang Lautan. – AP