BEIJING, 30 DIS – China hari ini mengatakan semua data COVID yang dikongsikannya dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah telus, meskipun hospital-hospitalnya penuh dan angka rasmi jangkitan dan kematian lebih kecil berbanding negara-negara lain.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus awal hari ini menggesa China untuk lebih berterus-terang mengenai pandemik itu dan mengatakan ia ‘memahami’ bahawa beberapa buah negara telah memperkenalkan sekatan dalam tindak balas terhadap peningkatan COVID.
Amerika Syarikat pada Rabu menyertai beberapa buah negara melaksanakan ujian saringan COVID ke atas pengembara dari China selepas Beijing menggugurkan sekatan perjalanan asing meskipun kes-kes dalam negaranya meningkat.
Walau bagaimanapun, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Wang Wenbin memberitahu satu sidang media harian pada Rabu, “Sejak penularan epidemik, China telah berkongsi maklumat relevan dan data dengan masyarakat antarabangsa, termasuk WHO secara terbuka dan telus.
“Kami berkongsi penjujukan genom koronavirus baharu secara langsung dan ia menjadi sumbangan penting kepada perkembangan vaksin, ubat relevan di negara-negara lain.
Beliau menambah bahawa pakar kesihatan di beberapa negara juga sudah mengatakan tiada keperluan untuk melaksanakan sekatan kemasukan ke atas pengembara dari China.
Manakala agensi kesihatan EU mengatakan, langkah-langkah itu tidak perlu buat masa sekarang.
Sebuah badan pengawalan penyakit kebangsaan di China, mengatakan terdapat kira-kira 5,500 kes baharu dan satu kematian pada Jumaat, namun dengan berakhirnya saringan besar-besaran dan kriteria kematian COVID dikecilkan, jumlah itu tidak lagi dipercayai mencerminkan kenyataan sebenar.
Beberapa pakar menganggarkan terdapat sehingga 9,000 kematian harian. – AP
