Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bertindak pantas tambah baik tadbir urus global berdasarkan penggunaan AI

    PARIS, 12 FEB – China bertindak pantas menambah baik tadbir urus global berdasarkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), yang kini menjadi penggerak penting bagi revolusi sains, teknologi dan transformasi perindustrian pusingan baharu.

    Perkara itu dinyatakan Zhang Guoqing selaku wakil khas Presiden China Xi Jinping dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Tindakan AI pada Isnin.

    “Pada Oktober 2023, Presiden Xi Jinping mengemukakan cadangan Inisiatif Tadbir Urus AI Global yang dilihat sebagai pakej penyelesaian yang mempunyai cita rasa China mengenai kaedah pembangunan dan arah perkembangan AI,” kata Zhang yang juga Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Naib Perdana Menteri.

    Mengulas lanjut, Zhang berkata China mencadangkan masyarakat antarabangsa berganding bahu menyokong penggunaan AI untuk kemaslahatan rakyat, memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi, meningkatkan keterangkuman dan mengamalkan nilai universal demi penambahbaikan tadbir urus global dalam menghadapi peluang dan cabaran daripada pembangunan AI.

    “China bersedia bekerjasama dengan negara lain dalam bidang AI untuk menggalakkan pembangunan, menjaga keselamatan, berkongsi pencapaian dan bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib sesama insan,” kata Zhang.

    Selain itu, beliau juga mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menghadiri Persidangan AI Dunia 2025 di Shanghai, China.

    Sidang kemuncak itu dihadiri pemimpin negara, pegawai kanan kerajaan dan wakil peringkat tinggi dari lebih 30 negara dan ketua organisasi antarabangsa. Mereka bersama-sama mewartakan kenyataan mengenai pembangunan AI yang inklusif dan mampan untuk kesejahteraan manusia dan Bumi. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda