Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bertindak tegas kawal kandungan ‘bahaya’ untuk kanak-kanak

    BEIJING, 14 JULAI – China kelmarin mengumumkan tindakan keras yang baharu ke atas internet negara itu, dengan menyasarkan aplikasi video dan platform media sosial untuk membersihkan kandungan yang dianggap berbahaya kepada kanak-kanak.

    Kerajaannya akan mengawal selia web domestik dengan ketat, menapis kandungan yang dianggap kesat, mendabik dada atau mengandungi subversif politik.

    Ia secara berkala menyekat sektor tertentu termasuk kandungan dari pempengaruh sehingga platform permainan dan talian membeli-belah.

    Dalam satu kenyataan kelmarin, badan pemerhati internet negara itu berkata ia melancarkan kempen ‘Jelas dan Terang’ selama dua bulan untuk mengukuhkan perlindungan kanak-kanak bawah umur di internet dengan berkesan dan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih sihat dan selamat.

    Langkah itu akan ‘membetulkan masalah yang ketara’ berkaitan dengan platform video pendek dan penstriman langsung, laman media sosial, platform beli-belah dalam talian, kedai aplikasi, peranti pintar untuk kanak-kanak dan kawalan dalam talian untuk kanak-kanak bawah umur, kata kenyataan Pentadbiran Ruang Siber China.

    Ia juga menyasarkan kepelbagaian tingkah laku seperti penyiaran video yang kelihatan seperti mengagungkan buli di sekolah, mengandungi unsur ‘ganas dan berdarah’ pada kartun dan lagu kanak-kanak klasik dan juga kandungan yang menjana keuntungan daripada ‘kanak-kanak selebriti internet’ bawah umur.

    Ia juga bertujuan untuk menghapuskan produk mengandungi ‘pornografi ringan’ dan tidak senonoh daripada platform e-dagang, serta maklumat yang menarik kanak-kanak ke dalam ‘persahabatan yang berbahaya’ atau ‘menghantarkan nilai yang berbahaya (melalui) bahasa dalam talian yang direka dengan niat jahat dan kata-kata kasar’.

    “Kita mesti memberi perhatian kepada manifestasi baharu masalah khusus untuk kanak-kanak bawah umur dan juga bersama-sama menegakkan ekologi dalam talian yang baik,” kata kenyataan itu.

    Tindakan keras terbaharu itu berkuat kuasa ketika kanak-kanak Cina memulakan cuti sekolah musim panas mereka, dan juga lanjutan daripada beberapa kempen serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda