DUSHANBE, 27 FEB – Sebuah syarikat dari China akan membantu membina jambatan jalan raya di Tajikistan yang bakal menjadi jambatan terpanjang di Asia Tengah, kata seorang pegawai kerajaan kelmarin.
Jambatan sepanjang 920 meter merentasi Sungai Surkhob di tengah Tajikistan itu akan dibina dengan penglibatan tenaga kerja tempatan, menurut pegawai Kementerian Pengangkutan negara itu.
Pembinaan jambatan tersebut akan dibiayai menerusi pinjaman dari Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) yang berpangkalan di China, sekali gus memperkukuh pengaruh Beijing di rantau bekas Kesatuan Soviet itu.
Walaupun Rusia kekal sebagai rakan dagang utama Tajikistan, China telah melabur lebih AS$4 bilion di negara itu dalam tempoh sedekad lalu, menyaingi pengaruh Kremlin. Projek itu dianggarkan menelan kos sekitar AS$60 juta.
Jambatan itu akan dibina di kawasan pergunungan yang mencabar, berdekatan sebuah empangan hidroelektrik peninggalan era Soviet yang masih belum siap dan dirancang untuk disiapkan oleh kerajaan Tajikistan.
China berkongsi sempadan sepanjang kira-kira 500 kilometer dengan Tajikistan dan giat melabur dalam infrastruktur pengangkutan di negara jirannya di Asia Tengah bagi meningkatkan jaringan jalan raya untuk penghantaran barangan ke Eropah.
Setakat ini, tarikh rasmi permulaan projek masih belum diumumkan. Namun, menurut jurucakap kementerian, kira-kira 80 peratus tenaga kerja bagi pembinaan jambatan itu terdiri daripada pekerja tempatan, manakala 20 peratus lagi adalah pakar dari China.
Tajikistan merupakan antara negara termiskin dalam kalangan bekas republik Soviet, dengan KDNK di bawah AS$15 bilion.
Sepertiga daripada ekonominya bergantung kepada kiriman wang pekerja migran, kebanyakannya bekerja di Rusia. Beijing kini memegang kira-kira satu pertiga daripada hutang luar Tajikistan yang dianggarkan hampir AS$1 bilion. – AFP
